Terkini
Terma rumah ibadat selain Islam, SALAH – Peguam
- Menurut peguam, Aidil Khalid, perkara itu diperuntukkan secara jelas di bawah Seksyen 9(1) Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Selangor yang menyenaraikan sebanyak 25 perkataan larangan yang tidak boleh digunakan bagi menggambarkan ritual agama selain Islam.
- Beliau menjelaskan bahawa salah satu istilah larangan tersebut ialah ‘ibadah’, dan variasi ejaan seperti ‘ibadat’ turut termasuk dalam larangan berkenaan.
- Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa orang bukan Islam masih boleh menggunakan istilah ibadah atau ibadat dalam konteks yang merujuk kepada agama Islam, namun bukan bagi ritual agama lain.
KUALA LUMPUR – Penggunaan istilah ‘rumah ibadat’ bagi merujuk kepada tempat sembahan agama bukan Islam sebenarnya merupakan satu kesalahan undang-undang di beberapa negeri, kata seorang peguam, Aidil Khalid.
Menurut beliau, perkara itu diperuntukkan secara jelas di bawah Seksyen 9(1) Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Selangor yang menyenaraikan sebanyak 25 perkataan larangan yang tidak boleh digunakan bagi menggambarkan ritual agama selain Islam.
Beliau menjelaskan bahawa salah satu istilah larangan tersebut ialah ‘ibadah’, dan variasi ejaan seperti ‘ibadat’ turut termasuk dalam larangan berkenaan.
“Seksyen 9(1) menyatakan: “seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia — (a) dalam apa-apa tulisan yang diterbitkan; atau (b) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan awam … menggunakan mana-mana perkataan yang disenaraikan dalam Bahagian 1 kepada Jadual, atau apa-apa perkataan terbitan atau variasinya, untuk menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau mengenai atau berkaitan dengan sesuatu ugama bukan Islam.
“Istilah ‘ibadat’ adalah variasi ejaan kepada istilah ‘ibadah’ yang dilarang penggunaannya di dalam Jadual. Seperti mana ada orang eja solat, ada orang eja salat, tapi kita faham dua-duanya merujuk kepada perkara yang sama. Begitu juga ibadah dan ibadat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah beliau, larangan tersebut bukan hanya terpakai kepada perkataan asal yang disenaraikan, malah turut meliputi apa-apa bentuk terbitan atau variasi perkataan berkenaan.
“Seksyen 9 bukan hanya melarang istilah yang disenaraikan dalam Jadual sahaja, tetapi juga ‘apa-apa perkataan terbitan atau variasinya’ turut sama dilarang,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa orang bukan Islam masih boleh menggunakan istilah ibadah atau ibadat dalam konteks yang merujuk kepada agama Islam, namun bukan bagi ritual agama lain.
“Tapi jangan salah faham, orang bukan Islam bukan tidak boleh sebut langsung istilah ibadat atau ibadah.
“Boleh, sudah tentu boleh, tapi konteks maksudnya mesti dalam merujuk kepada agama Islam, dan bukan merujuk kepada ritual agama selain Islam,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar istilah yang lebih tepat digunakan bagi merujuk kepada tempat sembahan agama bukan Islam seperti rumah berhala, rumah anutan, binaan sembahan, kuil atau tokong.
Beliau turut menambah bahawa bagi binaan yang didirikan secara tidak sah, istilah seperti kuil haram, tokong haram atau rumah berhala haram wajar digunakan.
“Ayuh, kita gunakan istilah yang betul. Betulkan yang biasa. Biasakan yang betul,” ujarnya. – The Merdeka Times