Terkini
11,421 murid SJKC tercicir di sekolah menengah, 70 peratus akibat rintangan bahasa
- “Dapatan kajian mendapati sehingga 70 peratus kes keciciran berpunca daripada kelemahan penguasaan bahasa, khususnya Bahasa Melayu. Justeru, semua pihak perlu memberi perhatian serius dan bekerjasama bagi mencari penyelesaian berkesan,” – Pengerusi Gabungan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Johor, Tan Tai Kim
- Tai Kim yang juga bekas Pengerusi Dong Zong menjelaskan, sebahagian murid memilih untuk berhenti sekolah kerana gagal menyesuaikan diri dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah menengah.
BATU PAHAT – Seramai 11,421 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) didapati tercicir daripada sistem pendidikan selepas melangkah ke sekolah menengah, dengan kira-kira 70 peratus daripada kes tersebut berpunca daripada masalah penguasaan bahasa.
Memetik laporan akhbar Nyanyang Sian Pau, Pengerusi Gabungan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Johor, Tan Tai Kim berkata, perkara itu berdasarkan dapatan kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun 2024 yang melibatkan 1,991 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara.
Menurut beliau, kajian tersebut menunjukkan terdapat seramai 1,912,290 pelajar di sekolah menengah, namun 11,421 murid SJKC gagal menamatkan pengajian sehingga Tingkatan Lima, iaitu kira-kira 0.65 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar sekolah menengah.
“Dapatan kajian mendapati sehingga 70 peratus kes keciciran berpunca daripada kelemahan penguasaan bahasa, khususnya Bahasa Melayu. Justeru, semua pihak perlu memberi perhatian serius dan bekerjasama bagi mencari penyelesaian berkesan,” katanya.
Tai Kim yang juga bekas Pengerusi Dong Zong menjelaskan, sebahagian murid memilih untuk berhenti sekolah kerana gagal menyesuaikan diri dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah menengah.
Katanya, peralihan daripada Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar di SJKC kepada Bahasa Melayu di SMK menyebabkan sesetengah murid berdepan kesukaran pembelajaran serta tekanan dalam tempoh singkat.
Tambah beliau, kegagalan menamatkan pendidikan menengah bukan sahaja menjejaskan masa depan pelajar terlibat, malah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap pembangunan dasar negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti pendidikan Cina termasuk institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan media agar memberikan perhatian serius bagi membendung masalah keciciran serta mengelakkan berlakunya isu sosial yang lebih besar.
Tai Kim turut menggesa Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) supaya mempertimbangkan untuk menerima pelajar tercicir berkenaan agar mereka sekurang-kurangnya dapat menamatkan pendidikan menengah.
Pada masa sama, ibu bapa disaran menjadikan SMPC sebagai salah satu pilihan apabila anak-anak mereka melangkah ke alam sekolah menengah.
Dalam perkembangan berkaitan, Tai Kim berkata, peratusan guru muda Cina di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) menunjukkan trend penurunan saban tahun, sekali gus menjadikan isu kekurangan guru Bahasa Cina semakin serius.
Beliau memetik data tahun 2020 yang menunjukkan guru dengan tempoh perkhidmatan antara 31 hingga 40 tahun merangkumi 74.16 peratus daripada keseluruhan tenaga pengajar Bahasa Cina.
“Apabila guru-guru berpengalaman ini bersara kelak, masalah kekurangan guru Bahasa Cina akan menjadi lebih kritikal dan sukar ditangani.
“Oleh itu, Kementerian Pendidikan perlu memberi perhatian serius terhadap isu kekurangan guru Bahasa Cina di SMJK dan juga SMK,” katanya. – The Merdeka Times