Connect with us

Terkini

Mulai 1 Mac, Warga asing dilarang beli minyak masak bersubsidi

Published

on

Foto: Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali.
  • Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah tersebut diambil bagi menutup sebarang ruang kepada bukan warganegara daripada mendapatkan barangan kawalan harga itu.
  • Menurut beliau, penguatkuasaan larangan berkenaan akan diperkukuhkan menerusi penggunaan aplikasi mudah alih Cooking Oil Price Stabilisation System (eCOSS).
  • Katanya, sistem itu membolehkan pemantauan menyeluruh dilakukan ke atas rantaian bekalan minyak masak bermula dari peringkat penapisan sehingga ke pembelian di peringkat peruncit, sekali gus memudahkan tindakan penguatkuasaan dan perundangan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh warga asing berkuat kuasa 1 Mac ini bagi memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati subsidi kerajaan.

Memetik laporan akhbar NST, menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah tersebut diambil bagi menutup sebarang ruang kepada bukan warganegara daripada mendapatkan barangan kawalan harga itu.

Menurut beliau, penguatkuasaan larangan berkenaan akan diperkukuhkan menerusi penggunaan aplikasi mudah alih Cooking Oil Price Stabilisation System (eCOSS).

Katanya, sistem itu membolehkan pemantauan menyeluruh dilakukan ke atas rantaian bekalan minyak masak bermula dari peringkat penapisan sehingga ke pembelian di peringkat peruncit, sekali gus memudahkan tindakan penguatkuasaan dan perundangan.

“Sebelum ini, terdapat gesaan supaya larangan dikenakan melalui kuasa perundangan, namun peniaga membangkitkan kebimbangan berhubung aspek praktikal penguatkuasaan dan pemantauan prosedur operasi standard.

“Dengan eCOSS, perekodan data di sepanjang rantaian pengedaran membolehkan kementerian menguatkuasakan larangan pembelian minyak masak paket oleh warga asing dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Armizan menambah, larangan itu akan dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan yang diperuntukkan menerusi Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961.

Setakat 18 November tahun lalu, seramai 928,037 pengguna telah memuat turun aplikasi eCOSS sejak ia dilancarkan pada Ogos. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author