Connect with us

Terkini

Wanita tidak wajar dihalang buat laporan polis kerana pakaian – Nancy

Published

on

Foto: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri

  • Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata tiada siapa hadir ke balai polis tanpa sebab, khususnya bagi urusan bukan mendesak.
  • “Jika bukan perkara mendesak, tiada sesiapa yang datang ke balai polis untuk membuat laporan secara suka-suka,” katanya.
  • “Saya mengalu-alukan siasatan dalaman ini dan berharap kita dapat bergerak ke arah penguatkuasaan yang lebih berperikemanusiaan dan berpusat kepada rakyat, yang melindungi maruah serta keselamatan semua, khasnya wanita dan kanak-kanak,” katanya.

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan wanita tidak sepatutnya dihalang daripada membuat laporan polis atas faktor pakaian.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata tiada siapa hadir ke balai polis tanpa sebab, khususnya bagi urusan bukan mendesak.

“Tiada wanita sepatutnya dihalang daripada membuat laporan polis kerana pakaiannya.

“Jika bukan perkara mendesak, tiada sesiapa yang datang ke balai polis untuk membuat laporan secara suka-suka,” katanya dalam satu hantaran di X.

Beliau berkata demikian susulan isu tular berkaitan dakwaan seorang wanita dihalang membuat laporan polis kerana cara pemakaiannya.

Beliau menyatakan kementeriannya menyambut baik siasatan dalaman yang sedang dijalankan pihak berkuasa

Nancy juga berharap agar hasil siasatan itu dapat menjadi asas kepada penambahbaikan prosedur serta layanan terhadap wanita yang tampil membuat laporan.

“Saya mengalu-alukan siasatan dalaman ini dan berharap kita dapat bergerak ke arah penguatkuasaan yang lebih berperikemanusiaan dan berpusat kepada rakyat, yang melindungi maruah serta keselamatan semua, khasnya wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan, wanita berkaitan isu yang tular itu hadir ke IPD Jasin untuk membuat laporan kemalangan jalan raya.

Tambahnya, siasatan dijalankan sejurus menerima aduan dan mendapati insiden tersebut berlaku sekitar jam 5 petang.

Bagaimanapun, jelas Dzulkhairi, anggota bertugas di pintu hadapan memintanya pulang terlebih dahulu untuk menukar pakaian yang lebih bersesuaian sebelum membuat laporan memandangkan wanita terbabit mengenakan skirt paras atas lutut ketika itu.

Ujarnya, pada jam 5.40 petang, wanita berkenaan kembali ke IPD bersama ibunya dengan berpakaian lebih sopan dan dibenarkan masuk untuk membuat laporan polis tanpa sebarang halangan.

Beliau menegaskan, etika pemakaian bagi orang awam yang berurusan di kaunter aduan polis perlu dipatuhi sepertimana ditetapkan dalam surat pekeliling diwartakan.

Bagaimanapun katanya, pihak polis memberikan kelonggaran bagi kes kecemasan atau yang memerlukan tindakan pantas. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author