Connect with us

Politik

DAPSY tuduh Akmal Saleh, pemuda PAS hipokrit dalam isu UEC

Published

on

Foto: Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Liinesh Selluandan.

  • Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Liinesh Selluandan menegaskan bahawa pengiktirafan UEC pernah termaktub dalam manifesto Barisan Nasional (BN) ketika diterajui Najib Razak serta turut dimasukkan dalam manifesto Buku Jingga yang melibatkan PAS suatu ketika dahulu.
  • Katanya, penolakan Pemuda UMNO dan Pemuda PAS hari ini secara tidak langsung menggambarkan seolah-olah Najib Razak dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tidak memahami dasar pendidikan negara.

KUALA LUMPUR — Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Liinesh Selluandan, mengecam keras kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, dan Timbalan Ketua Pemuda PAS yang menolak usaha pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sambil menuduh kedua-duanya bersikap tidak konsisten dan hipokrit dalam isu pendidikan.

Foto: Tangkap layar Facebook DAPSY Malaysia.

Beliau berkata dakwaan Akmal bahawa sekolah menengah persendirian Cina bercanggah dengan sistem pendidikan negara jelas bermotif untuk mengeruhkan keadaan dan menghalang agenda reformasi kerajaan. Menurutnya, pengiktirafan UEC bukan isu baharu, malah bukan hanya janji Pakatan Harapan (PH).

Liinesh menegaskan bahawa pengiktirafan UEC pernah termaktub dalam manifesto Barisan Nasional (BN) ketika diterajui Najib Razak serta turut dimasukkan dalam manifesto Buku Jingga yang melibatkan PAS suatu ketika dahulu.

Oleh itu, katanya, penolakan Pemuda UMNO dan Pemuda PAS hari ini secara tidak langsung menggambarkan seolah-olah Najib Razak dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tidak memahami dasar pendidikan negara.

Beliau turut menyindir dwi-standard Pemuda UMNO dengan menggesa Akmal menggerakkan kembali “skuad polis moral” namun kali ini ke Penjara Kajang untuk “mendidik” Najib Razak selepas BN sendiri pernah menyokong UEC.

Pada masa sama, beliau mencadangkan Pemuda PAS berhimpun di depan pejabat Ahli Parlimen Marang.

Liinesh menuduh Pemuda UMNO dan Pemuda PAS dangkal dalam memahami sistem kemasukan universiti negara, sambil menjelaskan bahawa universiti awam sudah lama menerima kelayakan A-Level, walaupun ia tidak menggunakan Bahasa Malaysia dan majoriti pelajarnya bukan lepasan sekolah kerajaan.

“Jika A-Level boleh diterima, mengapa UEC dijadikan isu?” katanya sambil menyifatkan alasan dasar pendidikan negara yang dikemukakan oleh kedua-dua sayap parti itu sebagai hujah hipokrit dan tidak konsisten.

Menurut beliau, Sabah dan Sarawak telah lama mengiktiraf UEC, termasuk membenarkan pemegang sijil itu memohon biasiswa negeri serta memasuki universiti di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Justeru, katanya, tidak wajar Akmal atau Pemuda PAS menggambarkan seolah-olah pengiktirafan UEC bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan.

Liinesh juga mengingatkan bahawa BN dan PAS sendiri pernah menyatakan sokongan terbuka terhadap UEC, maka isu tersebut tidak patut dipolitikkan semula.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan kini memikul komitmen untuk melaksanakan pelbagai agenda reformasi, dan UEC hanyalah “bab kecil” dalam usaha pembaharuan pendidikan.

Beliau menggesa semua pihak untuk berbincang secara tenang, profesional dan berasaskan fakta, agar kerajaan dapat membuka lembaran baharu dalam proses reformasi pendidikan negara tanpa diganggu kenyataan berbaur kepentingan politik sempit.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author