Politik
Status Pulau Pinang jelas dalam perlembagaan, bukan isu bayaran sejarah – Ketua Menteri
- Mengulas isu berkaitan dakwaan bayaran ‘sewaan’ atau ‘bayaran’ kepada Kedah, Chow Kon Yeow menegaskan perkara tersebut tidak berbangkit di peringkat Kerajaan Negeri.
- “Berdasarkan Perjanjian 1869 antara British dan Kedah serta peruntukan Perkara 167(7) dan Perkara 169(a) Perlembagaan Persekutuan, apa-apa komitmen bayaran tahunan yang wujud pada zaman pentadbiran British telah berpindah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan bukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya ketika membentangkan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 semalam.
GEORGE TOWN – Kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia adalah jelas dan tidak boleh dipertikaikan dari sudut perlembagaan, tegas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Beliau berkata, Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan secara nyata menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia dan kedudukannya adalah setaraf dengan negeri-negeri lain dalam persekutuan.
Mengulas isu berkaitan dakwaan bayaran ‘sewaan’ atau ‘bayaran’ kepada Kedah, Chow menegaskan perkara tersebut tidak berbangkit di peringkat Kerajaan Negeri.
“Berdasarkan Perjanjian 1869 antara British dan Kedah serta peruntukan Perkara 167(7) dan Perkara 169(a) Perlembagaan Persekutuan, apa-apa komitmen bayaran tahunan yang wujud pada zaman pentadbiran British telah berpindah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan bukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya ketika membentangkan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 semalam.
Menurutnya, dari sudut undang-undang, Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang obligasi untuk membayar sebarang bentuk sewaan, pampasan atau bayaran kepada Kedah.
Chow menambah, sempadan negeri turut ditetapkan secara muktamad melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 [Akta 325], yang diluluskan di Parlimen mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan kerajaan negeri menolak sebarang naratif atau provokasi yang boleh menggugat keharmonian awam, khususnya melibatkan hubungan antara negeri.
“Pulau Pinang adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan, dan segala komitmen kewangan sejarah yang melibatkan Kedah adalah urusan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri akan terus menghormati kedudukan Perlembagaan Persekutuan dan memastikan hubungan antara negeri terpelihara berdasarkan lunas undang-undang,” katanya.-The Merdeka Times