Connect with us

Politik

“Tutup mic, halang pembahas” – Perwakilan AMANAH persoal ketelusan konvensyen

Published

on

Foto: Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
  • Dalam kenyataannya, perwakilan Parti AMANAH dari Port Dickson, Zainal Lutfi mempersoalkan mengapa terdapat usaha menghalang perbahasan termasuk tindakan menutup mikrofon, mengganggu pembahas dan mengehadkan ruang pandangan ketika konvensyen berlangsung.
  • “Kenapa takut sangat untuk berbahas dalam konvensyen? Sampai tutup mic, halang speaker beri ruang, cuba buat kecoh masa orang berbahas,” soalnya.
  • Beliau mendakwa suasana konvensyen semakin dikawal ketat sehingga hampir hilang demokrasi dan hak bersuara ahli menjadi terhad.

 

KUALA LUMPUR – Seorang perwakilan Parti AMANAH dari Port Dickson, Zainal Lutfi, meluahkan rasa kecewa terhadap perjalanan Konvensyen AMANAH yang disifatkannya semakin tidak memberi ruang kepada perbahasan terbuka, sehingga mengekang hak perwakilan untuk bersuara secara demokratik.

Dalam kenyataannya, beliau mempersoalkan mengapa terdapat usaha menghalang perbahasan termasuk tindakan menutup mikrofon, mengganggu pembahas dan mengehadkan ruang pandangan ketika konvensyen berlangsung.

“Kenapa takut sangat untuk berbahas dalam konvensyen? Sampai tutup mic, halang speaker beri ruang, cuba buat kecoh masa orang berbahas,” katanya.

Foto: Konvensyen Nasional 2025 Parti Amanah Negara.

Menurut Zainal, konvensyen parti sepatutnya menjadi platform utama bagi perwakilan membahaskan isu serta membuat keputusan bersama, namun apa yang berlaku bertentangan dengan semangat tersebut.

Beliau berkata kebanyakan konvensyen sebelum ini berakhir tanpa perbincangan bermakna dan tidak meninggalkan sebarang maklumat penting untuk ahli.

“Konvensyen AMANAH terlalu steril. Semua benda ditentukan oleh jawatankuasa. Dari perbahasan pidato presiden, ke usul, sampai ke penggulungan,” katanya sambil menambah bahawa pembahas juga diberikan tajuk siap sedia sehingga menjadikan perbahasan sekadar retorik politik, kosong dan tiada nilai tambah.

Zainal turut kesal apabila usul-usul yang benar-benar mahu dibincangkan oleh perwakilan sering kali ditolak atau direndahkan kepada sekadar “cadangan”.

Katanya, banyak isu parti diletakkan di bawah karpet termasuk status usul tahun lalu, halatuju parti, isu ahli keluar beramai-ramai dan masalah kawasan hampir terbubar.

Beliau menegaskan bahawa alasan “takut perbalahan” tidak wajar digunakan untuk menutup ruang demokrasi.

“Biarlah kita berbalah dan berbahas dalam konvensyen daripada masing-masing balik dengan rasa tak puas hati,” ujarnya.

Mengulas isu pemilihan parti yang menjadi perbahasan hangat tahun ini, Zainal berkata perwakilan sepatutnya diberi peluang menyuarakan pendapat mengenai tarikh dan proses pemilihan, bukan ditentukan sepenuhnya oleh kepimpinan nasional.

“Sekurangnya, berilah ruang kepada perwakilan untuk suarakan pendapat,” tegasnya.

Beliau mendakwa suasana konvensyen semakin dikawal ketat sehingga hampir hilang demokrasi dan hak bersuara ahli menjadi terhad.

“Lebih baik aku tengok LIVE sahaja daripada jadi perwakilan,” katanya.

Zainal menutup kenyataan dengan menyifatkan slogan parti, “Peduli dan Inklusif”, kini tidak lagi selari dengan realiti konvensyen.

“Nampak macam makin eksklusif dan dalam penafian. Kalau kita nak ke depan lagi, nak tak nak kita kena baiki dulu semua kelemahan kita,” katanya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author