Politik
“DAP suka ke mahkamah, Tapi melompat bila Kedah buat” — ADUN sindir isu pajakan Pulau Pinang
- Menurut ADUN Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari, DAP selama ini dikenali sebagai parti yang gemar membawa isu ke Mahkamah, namun bersikap bertentangan apabila Kedah mahu mendapatkan kepastian undang-undang mengenai “unfinished business” antara kedua-dua negeri.
- “Secara tiba-tiba DAP melompat, ini di luar kebiasaan mereka yang suka ke Mahkamah. Sampai libatkan Langkawi,” katanya dalam hantaran Facebook
ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari, menegaskan bahawa isu pajakan Pulau Pinang antara Kedah dan kerajaan negeri itu wajar dibawa ke Mahkamah bagi memastikan pertikaian bersejarah tersebut disemak dan diputuskan berdasarkan dokumen serta fakta yang sahih.
Menurut beliau, DAP selama ini dikenali sebagai parti yang gemar membawa isu ke Mahkamah, namun bersikap bertentangan apabila Kedah mahu mendapatkan kepastian undang-undang mengenai “unfinished business” antara kedua-dua negeri.
“Secara tiba-tiba DAP melompat, ini di luar kebiasaan mereka yang suka ke Mahkamah. Sampai libatkan Langkawi,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Mardhiyyah Johari.
Mardhiyyah berkata Mahkamah adalah medan paling sesuai untuk mendengar, menilai dan memutuskan isu pajakan yang telah berlangsung sejak tahun 1786, di mana Kedah masih menerima bayaran pajakan namun jumlahnya tidak lagi setanding dengan nilai semasa.
Beliau memaklumkan bahawa kerajaan Kedah telah membuat persiapan rapi dengan mengkaji serta mengumpul dokumen sejarah yang disimpan di pelbagai negara bagi dibawa sebagai bahan rujukan ke Mahkamah.
“Dokumen-dokumen sejarah lama perlu dikemukakan untuk Mahkamah menilai perkara ini,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa isu pajakan itu tidak lagi relevan selepas wujudnya Perlembagaan Persekutuan, Mardhiyyah memetik titah Tuanku Sultan Kedah yang menegaskan bahawa kuasa kerajaan Persekutuan hari ini wujud hasil pemberian negeri-negeri melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, dan tidak wajar sejarah serta kedaulatan negeri dipadamkan.
“Amatlah tidak wajar sekiranya suara rakyat negeri ini cuba didiamkan berhubung sejarah dan kedaulatan Kedah,” titah baginda seperti dipetik Mardhiyyah.
Beliau menyifatkan kes pajakan Pulau Pinang sebagai kes “sangat rare”, dan percaya proses perbicaraan itu akan mendapat perhatian umum kerana melibatkan isu sejarah, undang-undang dan hubungan negeri.
Katanya, keputusan Mahkamah kelak mampu menamatkan pertikaian panjang yang sering menjadi polemik politik.
“Jangan digunakan hujah kononnya akan merosakkan keharmonian. Sabah baru saja menang lawan Kerajaan Malaysia di Mahkamah, dan Malaysia masih harmoni seperti biasa,” ujarnya.-The Merdeka Times