Antarabangsa
Trump desak Israel beri pengampunan penuh kepada Netanyahu dari tuduhan rasuah
- “Walaupun saya menghormati sepenuhnya kebebasan sistem kehakiman Israel, saya percaya ‘kes’ terhadap Bibi adalah tindakan pendakwaan tidak wajar terhadap seorang pemimpin yang telah lama berjuang bersama saya, termasuk menghadapi ancaman Iran,” kata Trump.
- Di bawah undang-undang Israel, presiden mempunyai kuasa untuk mengampunkan pesalah namun penerima pengampunan mesti mengakui kesalahan sebelum kelulusan diberi
- Netanyahu bagaimanapun menegaskan beliau tidak bersalah dalam semua pertuduhan.
Presiden Israel, Isaac Herzog, dilapor menerima sepucuk surat daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menggesanya memberikan pengampunan penuh kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang kini berdepan perbicaraan kes rasuah.
Pejabat Herzog turut menyiarkan gambar surat yang ditandatangani Trump, memuji Netanyahu sebagai “perdana menteri waktu perang yang tegas dan berwibawa”.
Dalam surat tersebut, Trump menyifatkan pertuduhan rasuah terhadap Netanyahu sebagai pendakwaan bermotif politik.
“Walaupun saya menghormati sepenuhnya kebebasan sistem kehakiman Israel, saya percaya ‘kes’ terhadap Bibi adalah tindakan pendakwaan tidak wajar terhadap seorang pemimpin yang telah lama berjuang bersama saya, termasuk menghadapi ancaman Iran,” kata Trump.
Mengulas surat itu, pejabat Presiden Israel menegaskan bahawa setiap individu yang mahu memohon pengampunan wajib mengemukakan permohonan rasmi mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Setakat ini, belum ada pengesahan lanjut daripada pihak Rumah Putih mengenai reaksi Washington terhadap kenyataan Israel tersebut.
Di bawah undang-undang Israel, presiden mempunyai kuasa untuk mengampunkan pesalah atau meringankan hukuman mereka selepas meneliti pandangan pihak berkuasa berkaitan, termasuk menteri kehakiman dan pertahanan.
Namun undang-undang juga menetapkan bahawa penerima pengampunan mesti mengakui kesalahan sebelum kelulusan diberi sebagai satu syarat yang sehingga kini ditolak Netanyahu.
Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid, turut mengulas isu itu di platform X dengan mengingatkan bahawa undang-undang Israel menetapkan pengampunan hanya diberi kepada mereka yang “mengakui kesalahan dan menunjukkan penyesalan”.
Netanyahu bagaimanapun menegaskan beliau tidak bersalah dalam semua pertuduhan.
Trump sebelum ini beberapa kali menyeru supaya Netanyahu diberikan pengampunan, termasuk ketika berucap di Knesset bulan lalu.
Netanyahu, yang mula dibicarakan pada 24 Mei 2020, merupakan pemimpin Israel pertama dalam sejarah negara itu yang hadir di mahkamah sebagai tertuduh ketika masih memegang jawatan perdana menteri.
Sejak Januari tahun ini, Netanyahu menjalani beberapa sesi soal siasat berkaitan kes rasuah yang dikenali sebagai Kes 1000, 2000 dan 4000, semuanya dinafikan beliau.
Selain itu, beliau juga berdepan pertuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, susulan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadapnya dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, pada November 2024.
Netanyahu dituduh bertanggungjawab terhadap kekejaman di Gaza sejak Oktober 2023, yang mengorbankan lebih 69,000 penduduk, majoritinya wanita dan kanak-kanak menjadikan tekanan antarabangsa terhadap kepimpinannya semakin meningkat. -The Merdeka Times