Antarabangsa
Israel curi organ tahanan Palestin yang masih hidup sebelum dibunuh – Pakar Bedah
- Pakar bedah Palestin-British, Dr. Ghassan Abu Sittah, mendedahkan bahawa keadaan mayat rakyat Palestin yang baru dipulangkan oleh Israel menunjukkan tanda-tanda kukuh berlakunya pencurian organ secara sistematik, selain kesan penyeksaan berat.
- “Setiap organ dikeluarkan seolah-olah disiapkan untuk pemindahan,” katanya sambil menambah bahawa kesan lecur akibat nitrogen cecair turut ditemui pada kulit beberapa mayat tanpa kecederaan lain menunjukkan organ tersebut tidak diambil selepas kematian.
GAZA– Seorang pakar bedah Palestin-British, Dr. Ghassan Abu Sittah, mendedahkan bahawa keadaan mayat rakyat Palestin yang baru dipulangkan oleh Israel menunjukkan tanda-tanda kukuh berlakunya pencurian organ secara sistematik, selain kesan penyeksaan berat.
Beliau memaklumkan kepada Al Jazeera bahawa beliau menerima gambar-gambar mayat yang diterima Kementerian Kesihatan Palestin daripada tentera Israel, dan hasil pemerhatiannya mendapati organ penting seperti paru-paru, jantung, hati dan buah pinggang telah dikeluarkan secara pembedahan professional menggunakan alat pemotong tajam tanpa mencederakan tisu di sekeliling.
“Setiap organ dikeluarkan seolah-olah disiapkan untuk pemindahan,” katanya sambil menambah bahawa kesan lecur akibat nitrogen cecair turut ditemui pada kulit beberapa mayat tanpa kecederaan lain menunjukkan organ tersebut tidak diambil selepas kematian.
Menurut beliau, semua mayat berkenaan adalah tahanan Palestin yang masih hidup sebelum ini, sekali gus menguatkan petunjuk bahawa kecurian organ dilakukan sebelum mereka meninggal dunia.
Dr. Abu Sittah turut memaklumkan bahawa gambar-gambar tersebut diambil pada 17 Oktober, tidak lama selepas Israel menyerahkan lebih 120 mayat kepada pihak Palestin.
Kenyataan beliau selari dengan laporan Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail al-Thawabta, yang turut mendakwa bahawa tentera Israel mencuri organ daripada mayat rakyat Palestin dan menuntut siasatan antarabangsa segera dijalankan.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, sebanyak 300 mayat Palestin telah dipulangkan oleh Israel, dengan sebahagian besar menunjukkan tanda penyeksaan, kesan tembakan jarak dekat, dan ikatan pada tangan serta kaki.
Dalam kenyataan rasmi, Pejabat Media Kerajaan Gaza menyifatkan keadaan mayat tersebut sebagai bukti kukuh kepada jenayah penyeksaan, pelaksanaan hukuman mati di lapangan dan pencurian organ secara haram, sekali gus menyeru penubuhan segera suruhanjaya siasatan antarabangsa bebas bagi membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.-The Merdeka Times