Antarabangsa
YouTuber AS dikecam hina tradisi lempar najis lembu di India
- Video berkenaan dirakam di Festival Gorehabba, sebuah tradisi Hindu di kampung Gumatapura, Karnataka, yang diadakan selepas perayaan Diwali, di mana penduduk kampung melempar najis lembu kering sebagai simbol kesuburan dan keberkatan.
- Dalam video tersebut, dia dilihat memakai sut hazmat dan gogal sambil dilumur najis dengan menyifatkan pengalaman itu sebagai “pengalaman paling jijik dalam hidup saya”.
- Kecaman terhadap YouTuber Amerika Syarikat, Tyler Oliveira semakin memuncak apabila ramai pengguna India menuduh Oliveira memperlekehkan kepercayaan Hindu dan menggambarkan rakyat India secara stereotaip.
NEW DELHI — YouTuber Amerika Syarikat, Tyler Oliveira, menerima kecaman hebat di media sosial selepas memuat naik video bertajuk “Inside India’s Poop-Throwing Festival” yang memaparkan dirinya menyertai upacara lempar najis lembu di sebuah kampung terpencil di India.
Video berkenaan dirakam di Festival Gorehabba, sebuah tradisi Hindu di kampung Gumatapura, Karnataka, yang diadakan selepas perayaan Diwali, di mana penduduk kampung melempar najis lembu kering sebagai simbol kesuburan dan keberkatan.
Oliveira, 25, didakwa gagal menghormati makna budaya di sebalik ritual itu dan menjadikannya bahan jenaka untuk tontonan antarabangsa.
Dalam video tersebut, dia dilihat memakai sut hazmat dan gogal sambil dilumur najis dengan menyifatkan pengalaman itu sebagai “pengalaman paling jijik dalam hidup saya”.
Kecaman terhadapnya semakin memuncak apabila ramai pengguna India menuduh Oliveira memperlekehkan kepercayaan Hindu dan menggambarkan rakyat India secara stereotaip.
“Ramai orang India kini melaporkan video dan hantaran saya, termasuk hantaran yang hanya menjelaskan bahawa video saya telah dilaporkan,” katanya di platform X.
Oliveira turut memuat naik tangkap layar menunjukkan beberapa videonya telah dikenakan sekatan umur (age-restricted) oleh pihak YouTube selepas menerima banyak laporan daripada pengguna.
Selain video utama, Oliveira juga berkongsi gambar dirinya selepas acara tersebut, dengan kapsyen sinis: “Selamat Diwali! Ya, saya sertai festival lempar najis India. Doakan saya masih hidup.”
Namun, ramai pengguna media sosial India membidas tindakannya sebagai tidak sensitif terhadap budaya tempatan.
Mereka menegaskan bahawa festival tersebut bukanlah bahan lawak, sebaliknya upacara keagamaan yang mempunyai nilai sejarah dan simbolik tersendiri.
Oliveira mempertahankan tindakannya dengan mendakwa videonya hanyalah dokumentari ringan, namun ramai netizen menganggap beliau menggunakan budaya India sebagai kandungan eksotik untuk tontonan Barat.
Festival Gorehabba biasanya disambut sebagai tanda kesuburan dan perpaduan selepas menuai hasil tani, namun kini menjadi tumpuan luar biasa selepas rakaman Oliveira tular di media antarabangsa sekaligus mencetuskan perdebatan mengenai batas antara hiburan digital dan penghormatan budaya.-The Merdeka Times