Antarabangsa
Israel cuba hapus bukti genosid sebelum wartawan asing masuk Gaza
- Pegawai kerajaan memaklumkan kepada Ynet bahawa mereka menjangkakan kemasukan wartawan akan mencetuskan “kebanjiran laporan kemanusiaan” yang berpotensi membuktikan lagi kewujudan genosid dan jenayah perang.
- Untuk menghadapi perkara itu, jurucakap tentera, Kementerian Luar dan National Directorate for Public Diplomacy telah mengadakan mesyuarat strategi bagi menyusun naratif sebelum media antarabangsa dibenarkan masuk.
- “Kami menjangkakan serangan besar di media sosial dan saluran berita global,” kata seorang pegawai Kementerian Luar Israel.
GAZA — Israel dilapor sedang merancang satu “perang propaganda” bagi mengawal naratif sebelum membenarkan wartawan antarabangsa memasuki Gaza.
Portal Ynet melaporkan bahawa kerajaan Israel merancang untuk mengatur lawatan tentera bagi media asing sebagai usaha justifikasi terhadap serangan berterusan di Gaza.
Walaupun rancangan itu disiapkan selama beberapa bulan, pegawai Israel mengakui bahawa kesiapsiagaan media mereka masih lemah, dan mereka bimbang liputan wartawan asing bakal mendedahkan realiti sebenar kemusnahan serta meningkatkan kemarahan global terhadap jenayah perang di Gaza.
Pada 23 Oktober lalu, Mahkamah Agung Israel memberikan kerajaan tambahan 30 hari untuk menjawab petisyen oleh Foreign Press Association (FPA) yang menuntut akses ke Gaza bagi mencabar larangan yang dikuatkuasakan sejak 7 Oktober 2023.
Semasa prosiding mahkamah, Peguam Negara Israel mengakui bahawa situasi di Gaza telah berubah dan menjelaskan rancangan untuk memperbaharui lawatan media bersama tentera di kawasan yang dipanggil “garisan kuning”, iaitu zon yang dikawal tentera selepas gencatan senjata dua minggu lalu.
Pegawai kerajaan memaklumkan kepada Ynet bahawa mereka menjangkakan kemasukan wartawan akan mencetuskan “kebanjiran laporan kemanusiaan” yang berpotensi membuktikan lagi kewujudan genosid dan jenayah perang.
Untuk menghadapi perkara itu, jurucakap tentera, Kementerian Luar dan National Directorate for Public Diplomacy telah mengadakan mesyuarat strategi bagi menyusun naratif sebelum media antarabangsa dibenarkan masuk.
“Kami menjangkakan serangan besar di media sosial dan saluran berita global,” kata seorang pegawai Kementerian Luar Israel.
“Cabarannya sangat besar kerana tahap kemusnahan di Gaza amat luar biasa. Kami sedang sediakan bukti visual untuk menunjukkan kononnya Hamas menjadikan Gaza sebagai negara pengganas,” tambah seorang lagi pegawai kanan.
Namun, Committee to Protect Journalists (CPJ) mengecam rancangan tersebut, menyifatkannya sebagai alat propaganda yang menyekat kebebasan media antarabangsa kerana wartawan hanya dibenarkan melawat lokasi terpilih di bawah kawalan ketat tentera.
CPJ menegaskan tindakan itu melanggar piawaian kebebasan media antarabangsa.
Menurut Ynet, ramai pegawai Israel sendiri meragui keberkesanan persiapan komunikasi kerajaan.
“Media antarabangsa sudah pun menunjukkan kemusnahan dan angka korban. Apa yang belum ada ialah kisah manusia sebenar dan itulah yang wartawan akan bawakan nanti,” kata seorang sumber kanan.
Dalam pada itu, Euro-Med Human Rights Monitor menuduh Israel menjalankan dasar sistematik untuk menghapus bukti fizikal jenayah perang di Gaza, termasuk menghalang kemasukan wartawan dan penyiasat antarabangsa.
Menurut kenyataan badan itu, Israel sedang menggunakan operasi lapangan untuk menghapus kesan pembunuhan besar-besaran dan letupan, termasuk meratakan kawasan perumahan, kem pelarian, dan bandar-bandar kecil sebelum membawa sisa runtuhan ke lokasi tidak diketahui.
Badan itu memberi amaran bahawa kelewatan membenarkan wartawan antarabangsa masuk ke Gaza akan memberi lebih banyak masa kepada Israel untuk memusnahkan bukti dan “menulis semula kisah sebenar kehancuran Gaza.”
Data dari Pejabat Media Kerajaan Gaza pula mendedahkan bahawa sejak Oktober 2023, sebanyak 254 wartawan Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel, satu angka yang menggambarkan usaha sistematik untuk membungkam naratif Palestin. -The Merdeka Times