Terkini
Gaduh kerana kasta: Pemuda Dalit diserang, dipaksa jilat kasut
- Mangsa, Umesh Babu dari kasta Dalit, yang dianggap kasta paling rendah dalam agama Hindu di India, diserang ketika dalam perjalanan ke pasar.
- Pada mulanya, Babu diserang tiga lelaki secara verbal sebelum keadaan bertukar menjadi lebih ganas dengan melemparkan kata-kata kesat berunsur kasta dan memukulnya dengan teruk, mengakibatkan salah satu tangan mangsa patah.
- Walaupun Babu berulang kali menceritakan kejadian tersebut kepada pihak polis, mereka gagal mendaftarkan laporan polis.
HAMIRPUR – Seorang pemuda dari kasta Dalit, yang dianggap kasta paling rendah dalam agama Hindu di India, diserang dengan kejam dan dipaksa menjilat kasut di daerah Hamirpur, Uttar Pradesh, India oleh sekumpulan lelaki.
Muslim Mirror melaporkan tertuduh yang menganggap dirinya daripada kasta lebih tinggi turut merobek gambar tokoh India, Dr. B.R. Ambedkar.
Mangsa, Umesh Babu, seorang penduduk kampung Simnaudi, diserang ketika dalam perjalanan ke pasar.
Pada mulanya, Babu diserang tiga lelaki secara verbal sebelum keadaan bertukar menjadi lebih ganas dengan melemparkan kata-kata kesat berunsur kasta dan memukulnya dengan teruk, mengakibatkan salah satu tangan mangsa patah.
Penyerang dkenali sebagai Abhay Singh dan dua lagi individu yang tidak dikenali.
Walaupun Babu berulang kali menceritakan kejadian tersebut kepada pihak polis, mereka gagal mendaftarkan laporan polis.
“Saya telah mendekati polis beberapa kali, tetapi mereka mengabaikan saya,” katanya.
Selepas 12 hari berlalu, laporan polis akhirnya didaftarkan selepas campur tangan Ketua Polis Daerah, Dr. Deeksha Sharma.
Pegawai Rumah Stesen Sumerpur, Anup Singh, berkata, “Kami telah mendaftarkan kes ini selepas menerima aduan daripada mangsa, dan siasatan telah dimulakan.”
Sementara itu, organisasi Dalit mengecam polis kerana gagal mendaftarkan laporan lebih awal.
Mereka menuntut siasatan yang adil dan tindakan tegas diambil terhadap tertuduh serta pegawai polis yang menolak pendaftaran laporan tersebut. – The Merdeka Times