Connect with us

Terkini

Tembakan di gereja, Dua kanak-kanak maut

Published

on

Foto: Harper Moyski (kanan) dan Fletcher Merkel (kiri).
  • Ketua Polis Minneapolis, Brian O’Hara, berkata penyerang berdiri di luar gereja dan melepaskan tembakan melalui tingkap sempit yang sejajar dengan bangku jemaah.
  • “Apa yang berlaku ini amat kejam. Penyerang menembak secara membuta tuli tanpa melihat siapa mangsanya,” katanya.
  • Polis telah mengenal pasti suspek yang melepaskan tembakan itu sebagai Robin Westman, 23 tahun dan mengesahkan Westman meninggal dunia akibat tembakan sendiri.


MINNEAPOLIS – Suasana upacara keagamaan di Gereja Katolik di Minneapolis, Amerika Syarikat bertukar menjadi tragedi apabila seorang penyerang melepaskan tembakan dari luar bangunan, menyebabkan dua kanak-kanak maut dan 18 yang lain cedera.

Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Fletcher Merkel, 8, dan Harper Moyski, 10. Kedua-duanya adalah murid Annunciation Catholic School yang menghadiri upacara gereja sempena minggu pertama persekolahan.

Selain dua kematian, 18 lagi cedera dengan beberapa masih dirawat di hospital, termasuk seorang pelajar dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Minneapolis, Brian O’Hara, berkata penyerang berdiri di luar gereja dan melepaskan tembakan melalui tingkap sempit yang sejajar dengan bangku jemaah.

“Apa yang berlaku ini amat kejam. Penyerang menembak secara membuta tuli tanpa melihat siapa mangsanya,” katanya pada sidang media yang dilaporkan CNN.

Polis telah mengenal pasti suspek yang melepaskan tembakan itu sebagai Robin Westman, 23 tahun dan mengesahkan Westman meninggal dunia akibat tembakan sendiri di bahagian belakang gereja selepas melepaskan tembakan.

Menurut laporan media, Westman pernah bersekolah di situ sekurang-kurangnya selama setahun dan berada di sekolah tersebut pada minggu lalu ketika guru-guru membuat persiapan untuk tahun persekolahan yang akan datang.

Sementara itu, bapa mangsa, Fletcher, Jesse Merkel, menyatakan keluarganya kehilangan peluang untuk melihat anaknya membesar.

“Kami tidak lagi berpeluang memeluknya, berbual dengannya, atau melihatnya menjadi lelaki hebat seperti yang kami harapkan,” katanya.

Keluarga Harper pula dalam satu kenyataan menggambarkan anak perempuan mereka sebagai seorang yang ceria, penyayang, dan amat disayangi ramai.

Mereka turut menggesa supaya tindakan tegas diambil bagi menangani isu keganasan senjata api dan krisis kesihatan mental.

“Tiada keluarga yang sepatutnya melalui penderitaan ini. Perubahan adalah perlu supaya kisah Harper tidak menjadi satu lagi tragedi dalam senarai panjang,” kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca dan motif serangan tersebut. Identiti penyerang belum didedahkan, dan polis menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh.

Tragedi ini menambah satu lagi insiden berdarah dalam siri keganasan bersenjata di Amerika Syarikat yang semakin membimbangkan masyarakat dan menimbulkan desakan untuk reformasi kawalan senjata api. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author