Terkini
Pelantikan anggota JAC, PM disaran pertimbang cadangan baik Majlis Raja-Raja
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran mempertimbangkan secara serius cadangan Majlis Raja-Raja yang menuntut kuasa pelantikan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bukan lagi di bawahnya.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disarankan pertimbangkan secara serius cadangan Majlis Raja-Raja yang menuntut kuasa pelantikan anggota JAC bukan lagi di bawahnya.
- Cadangan itu hanya dapat dilaksanakan sekiranya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri dalam perkara itu dipinda.
- “Majlis Raja-Raja boleh titah tapi titah itu tidak punyai kuasa Perlembagaan dan perundangan selagi tidak diikuti pindaan yang perlu,” kata peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
- Cadangan itu disifatkan sebagai syumul dan baik dalam usaha menjadikan Malaysia lebih matang selain dapat memperbaiki persepsi rakyat iaitu ‘power’ Perdana Menteri terlampau tinggi.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran mempertimbangkan secara serius cadangan Majlis Raja-Raja yang menuntut kuasa pelantikan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bukan lagi di bawahnya.
Ini berikutan, cadangan itu hanya dapat dilaksanakan sekiranya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan Perlembagaan yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri dalam perkara itu dipinda.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata cadangan ataupun titah daripada Majlis Raja-Raja tidak mempunyai kuasa Perlembagaan dan perundangan selagi pindaan yang diperlukan tidak dilaksanakan.
“Cadangan Majlis Raja-Raja cuma boleh dilaksanakan jika undang-undang yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri melantik empat orang dalam Suruhanjaya Kehakiman dipinda oleh Parlimen.
“Majlis Raja-Raja boleh titah tapi titah itu tidak mempunyai kuasa Perlembagaan dan perundangan selagi tidak diikuti pindaan yang perlu.
“Jadi kalau Anwar betul-betul ingin reform negara kita, maka cadangan baik yang datang daripada ketua-ketua negara dan negeri ini patut dengan cepat ditubuh jawatankuasa untuk kaji dan buat pindaan yang perlu.
“Saya syorkan Anwar Ibrahim mengambil serius cadangan ini dan membentuk satu jawatankuasa di Parlimen untuk mengkaji, meneliti dan membuat pindaan kepada Akta Suruhanjaya Kehakiman dan Perlembagaan.
“Di mana kuasa Perdana Menteri yang boleh mencadangkan juga perlu dipinda supaya agensi yang betul dibentuk untuk memberi cadangan kepada Agong,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Semalam, Majlis Raja-Raja mencadangkan pelantikan lima anggota JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, sebaliknya ia diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
Menyambut baik cadangan itu,Haniff Khatri menyifatkannya sebagai syumul dan baik dalam usaha menjadikan Malaysia lebih matang selain dapat memperbaiki persepsi rakyat iaitu ‘power’ Perdana Menteri terlampau tinggi.
Katanya, ketika ini prespesi rakyat adalah Perdana Menteri boleh buat apa-apa sahaja sedangkan jika kita merujuk kepada Perlembagaan ia bukanlah seperti itu.
“Pemusatan kuasa kepada Perdana Menteri jika dapat dikurangkan dengan sah ya, bukan dengan tidak sah maka dia dapat kurangkan persepsi tersebut.
“Apabila sistem kehakiman contohnya bukan Perdana Menteri yang nasihatkan Agong tapi satu badan lain maka PM dapat beritahu rakyat ‘kenapa awak kata saya campur tangan? Saya lantik pun tidak. Saya cadangkan pun tidak, kuasa cadangan telah diambil alih dari tangan saya? Macam mana saya campur tangan?’ Nampak tak?,” katanya.
Beliau berkata cadangan Majlis Raja-Raja yang berhasrat untuk mematangkan sistem tadbir urus negara dengan tidak memusatkan terlampau banyak kuasa kepada Perdana Menteri itu wajar diikuti dengan pindaan-pindaan yang dinyatakan.
Beliau turut melihat cadangan itu sebagai satu langkah yang menunjukkan bahawa semua tadbir urus negara sepatutnya bebas daripada kerajaan semaksimum mungkin.
Beliau juga menjelaskan bahawa perkara ini dapat direalisasikan jika Parlimen bersikap matang memandangkan sesuatu pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan daripada dua per tiga Parlimen.
“Parlimen matang adalah yang adil, menjalankan tugas dan perbincangan dengan baik. Kalau kita sampai tahap itu maka kita perlu ada satu jawatankuasa Parliamentary Select Committees untuk mencadangkan pelantikan-pelantikan makna kata dia perlu ada proses.
“Jawatankuasa buat kajian yang adil dan saksama kemudian sentiasa senarai pendekkan nama orang-orang yang perlu dimasukkan dalam suruhanjaya.
“Mereka akan beri cadangan itu kepada Perdana Menteri yang perlu mengikutinya untuk dikemukakan pula nama-nama itu kepada Agong. So dia kena lalui Parliamentary Select Committees tapi dia kena matanglah.
“Kalau setakat ahli-ahli Dewan Rakyat yang cakap banyak tapi tak faham undang-undang susahlah.. kalau mereka bising sahaja bergegar bunyi macam guruh ribut tapi inti kosong tak guna,” kata Haniff Khatri.
Tambahnya, jawatankuasa itu mungkin terdiri daripada pihak-pihak luar seperti pengamal undang-undang, hakim-hakim dan pejabat peguam negara yang dah bersara. – The Merdeka Times