Connect with us

Terkini

‘Jika Iran berkeras teruskan nuklear, kami hapuskan dengan pantas’ – Trump

Published

on

Foto: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kiri) dan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei (kanan).
  • Amaran terbaru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump itu adalah sebagai respon kepada pendirian Tehran yang bertegas untuk meneruskan pengayaan nuklear bagi tujuan awam.
  • “Kami telah menghapuskan keupayaan nuklear mereka. Mereka boleh mulakan semula. Jika mereka berbuat demikian, kami akan hapuskannya semula lebih pantas sebelum anda sempat mengangkat jari.”
  • “Kami akan lakukan itu dengan senang hati, secara terbuka dan dengan senang hati,” katanya.


LONDON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi mengeluarkan ancaman terhadap Iran, hanya beberapa minggu selepas melancarkan serangan ketenteraan ke atas tiga fasiliti nuklear negara itu.

Amaran terbaru itu adalah sebagai respon kepada pendirian Tehran yang bertegas untuk meneruskan pengayaan nuklear bagi tujuan awam, satu garis merah bagi pentadbiran Trump dalam rundingan terdahulu tahun ini yang gagal selepas Israel melancarkan serangan ketenteraan terhadap Tehran pada bulan Jun.

Dalam satu sidang media di Scotland bersama Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer, Trump berkata Iran sedang “menghantar isyarat yang sangat buruk, sangat keji.”

“Kami telah menghapuskan keupayaan nuklear mereka. Mereka boleh mulakan semula. Jika mereka berbuat demikian, kami akan hapuskannya semula lebih pantas sebelum anda sempat mengangkat jari.

“Kami akan lakukan itu dengan senang hati, secara terbuka dan dengan senang hati,” katanya.

Kenyataan ini dibuat selepas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, baru-baru ini menegaskan hak Iran untuk memperkaya uranium menjelang rundingan bersama UK, Perancis dan Jerman minggu lalu.

Pegawai Iran menggambarkan rundingan itu sebagai “serius, jujur dan terperinci”, namun tiada kejayaan diumumkan.

Susulan kenyataan Trump pada Isnin, Araghchi berkata Iran “tidak akan sesekali memberi respon kepada bahasa ancaman dan ugutan”, sambil mengulangi bahawa Iran memerlukan pengayaan uranium untuk tujuan perubatan dan awam.

Beliau menambah bahawa Iran “tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas dengan lebih tegas” jika ia diserang sekali lagi.

Bercakap kepada Al Jazeera minggu lalu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, juga berkata bahawa Iran tidak akan meninggalkan program nuklearnya, namun masih terbuka kepada rundingan. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author