Antarabangsa
Ketua Biara Shaolin disiasat atas dakwaan salah laku seksual dan penyelewengan
- Ini bukan kali pertama Ketua Biara Shaolin, Shi Yongxin terpalit kontroversi.
- Pada 2006, beliau dikritik kerana menerima kereta mewah daripada kerajaan tempatan sebagai ganjaran untuk usaha mempromosikan pelancongan.
- Pada 2015, bekas anak muridnya mendedahkan dakwaan Shi menyeleweng wang biara dan mempunyai anak hasil hubungan sulit.
BEIJING — Ketua Biara Shaolin, Shi Yongxin, kini disiasat atas dakwaan serius termasuk salah laku seksual, penyelewengan dana, dan pelanggaran disiplin agama Buddha, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak biara pada Ahad.
Biara bersejarah itu yang terletak di wilayah Henan, China, memaklumkan bahawa Shi disyaki menyalahgunakan dana projek serta harta biara, di samping menjalinkan hubungan tidak wajar dengan beberapa wanita dalam tempoh yang panjang dan didakwa mempunyai anak luar nikah.
Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa siasatan sedang dijalankan oleh beberapa agensi kerajaan secara bersama, dan maklumat lanjut akan didedahkan kepada umum pada masa yang sesuai.
Biara Shaolin terkenal sebagai pusat utama agama Buddha Zen dan seni mempertahankan diri Shaolin kung fu. Ia dianggap sebagai antara biara Buddha paling berpengaruh di dunia.
Shi, 60, mula menjadi ketua biara pada tahun 1999 dan pernah memegang jawatan penting dalam organisasi Buddha tempatan, termasuk sebagai Presiden Persatuan Buddha Wilayah Henan sejak 1998. Beliau juga pernah menjadi ahli badan perundangan nasional dari 1998 hingga 2018.
Ini bukan kali pertama Shi terpalit kontroversi.
Pada 2006, beliau dikritik kerana menerima kereta mewah daripada kerajaan tempatan sebagai ganjaran untuk usaha mempromosikan pelancongan.
Pada 2015, bekas anak muridnya mendedahkan dakwaan Shi menyeleweng wang biara dan mempunyai anak hasil hubungan sulit.
Tahun sama, Shi dan pihak biara dikecam hebat apabila mencadangkan projek bernilai hampir AS$300 juta di Australia yang merangkumi pembinaan biara, akademi kung fu, dan padang golf.
Menurut SCMP, siasatan ke atas Shi dilakukan dalam konteks siasatan lebih meluas terhadap paderi Buddha di China, susulan beberapa skandal membabitkan salah laku kebelakangan ini.
Pihak berkuasa dijangka mengeluarkan butiran lanjut apabila siasatan selesai.-The Merdeka Times