Antarabangsa
Israel berang Macron umum Perancis akan iktiraf Negara Palestin
- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan langkah Macron itu sebagai tindakan yang “mengganjari keganasan” merujuk kepada serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.
- “Saya mengecam sekeras-kerasnya keputusan Presiden Macron untuk mengiktiraf negara Palestin bersebelahan Tel Aviv selepas pembunuhan beramai-ramai 7 Oktober,” kata Netanyahu dalam kenyataan rasmi, sambil menambah bahawa langkah itu berisiko mewujudkan satu lagi proxy Iran, sama seperti Gaza.
Baitulmaqdis – Israel meluahkan kemarahan terhadap pengumuman Presiden Perancis, Emmanuel Macron, bahawa negara itu akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi pada sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini.
Macron dalam ucapannya menegaskan pengiktirafan buat Palestin sebagai tanda komitmennya terhadap keamanan berterusan.
“Selaras dengan komitmen bersejarah kami terhadap keamanan yang adil dan berkekalan di Timur Tengah, saya telah memutuskan bahawa Perancis akan mengiktiraf negara Palestin,” tegasnya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan langkah Macron itu sebagai tindakan yang “mengganjari keganasan” merujuk kepada serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya keputusan Presiden Macron untuk mengiktiraf negara Palestin bersebelahan Tel Aviv selepas pembunuhan beramai-ramai 7 Oktober,” kata Netanyahu dalam kenyataan rasmi, sambil menambah bahawa langkah itu berisiko mewujudkan satu lagi proxy Iran, sama seperti Gaza.
Menurutnya, penubuhan negara Palestin dalam keadaan semasa akan menjadi landasan pelancaran untuk memusnahkan Israel bukan untuk hidup bersama secara aman.
Netanyahu turut menuduh rakyat Palestin tidak bercita-cita untuk berkongsi wilayah bersama Israel, sebaliknya mahu menggantikannya sepenuhnya.
Menteri Kehakiman Israel, Yariv Levin turut menyelar tindakan Macron dan menyifatkannya sebagai kenyataan yang memalukan dalam sejarah Perancis.
Beliau menggesa Israel supaya bertindak balas dengan melaksanakan kedaulatan penuh ke atas penempatan-penempatan di Tebing Barat.
“Inilah masanya untuk kita mengisytiharkan kedaulatan ke atas Judea dan Samaria,” katanya sebagaimana dilaporkan akhbar harian Yedioth Ahronoth.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pula berkata, Macron seharusnya menyokong Israel pada saat genting ini dan bukan melemahkannya.
“Kami tidak akan sesekali membenarkan kewujudan entiti Palestin yang mengancam kewujudan kami,” katanya.
Majlis Yesha badan gabungan yang mewakili majlis perbandaran penempatan Israel di Tebing Barat juga mendesak kerajaan supaya bertindak balas dengan mengisytiharkan kedaulatan ke atas wilayah yang didudukinya.
Setakat ini, sebanyak 149 daripada 193 negara anggota PBB telah mengiktiraf secara rasmi Negara Palestin.-The Merdeka Times