Antarabangsa
Dakwa isteri Presiden Perancis ‘lelaki’, Candace Owens disaman
- Dalam dokumen mahkamah, pasangan Macron menyatakan Owens telah menyebarkan dakwaan keterlaluan, tidak masuk akal dan bersifat fitnah.
- Pada Mac 2024, Owens menyatakan beliau sanggup mempertaruhkan “seluruh reputasi profesionalnya” atas kepercayaannya bahawa Brigitte Macron adalah seorang lelaki.
- “Kempen fitnah oleh Owens ternyata bertujuan untuk mengganggu, menyakiti kami dan keluarga kami, serta untuk meraih perhatian dan kemasyhuran,” menurut kenyataan itu.
PARIS — Presiden Perancis Emmanuel Macron dan isterinya, Brigitte Macron, telah memfailkan saman fitnah terhadap pempengaruh Amerika Syarikat, Candace Owens, selepas beliau berulang kali mendakwa bahawa wanita pertama Perancis itu sebenarnya dilahirkan sebagai lelaki.
Tindakan undang-undang itu difailkan pada Rabu di Delaware, Amerika Syarikat.
Dalam dokumen mahkamah, pasangan Macron menyatakan Owens telah menyebarkan dakwaan keterlaluan, tidak masuk akal dan bersifat fitnah.
Owens, seorang pempengaruh politik terkenal dengan jutaan pengikut, didakwa mengulangi teori konspirasi itu dalam siri podcast dan akaun media sosialnya.
Pada Mac 2024, Owens menyatakan beliau sanggup mempertaruhkan “seluruh reputasi profesionalnya” atas kepercayaannya bahawa Brigitte Macron adalah seorang lelaki.
Dalam episod terbaharu podcastnya yang disiarkan pada hari saman difailkan, Owens mempertahankan dakwaannya dan menyifatkan saman itu sebagai lawak bodoh serta strategi PR terdesak yang jelas.
Teori konspirasi yang mendakwa Brigitte Macron dilahirkan sebagai lelaki dengan nama Jean-Michel Trogneux iaitu nama sebenar adik lelakinya telah lama berlegar di ruang internet namun tidak pernah dibuktikan. Owens pula dianggap telah memperluaskan teori itu kepada hampir 7 juta pengikutnya di platform X. Awal tahun ini, beliau turut menerbitkan siri video bertajuk Becoming Brigitte.
Pasangan Macron, menerusi kenyataan peguam mereka, menyatakan bahawa mereka telah beberapa kali meminta Owens menarik balik kenyataannya, tetapi tidak diendahkan.
“Kempen fitnah oleh Owens ternyata bertujuan untuk mengganggu, menyakiti kami dan keluarga kami, serta untuk meraih perhatian dan kemasyhuran,” menurut kenyataan itu.
Saman tersebut turut mendakwa Owens mengenepikan segala bukti kukuh yang menafikan dakwaannya, dan lebih memilih untuk mempromosikan teori konspirasi bersama individu yang diketahui sebagai penyebar fitnah.
Owens juga dituduh menyebarkan dakwaan palsu bahawa pasangan Macron mempunyai hubungan darah dan bahawa Emmanuel Macron dilantik sebagai presiden melalui komplot rahsia CIA.
Tuntutan mahkamah itu turut menamakan syarikat-syarikat Owens yang beribu pejabat di Delaware dan menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya. -The Merdeka Times