Antarabangsa
Protes Pro-Palestin, Columbia University gantung, buang hampir 80 pelajar
- Dalam kenyataan rasmi, pihak universiti memaklumkan bahawa hukuman penggantungan dikenakan antara satu hingga tiga tahun, dan pelajar yang mahu kembali perlu menulis surat permohonan maaf kepada pihak pentadbiran.
- Namun, kumpulan Columbia University Apartheid Divest (CUAD) menyelar tindakan itu dan menyifatkannya sebagai hukuman politik paling besar dalam sejarah kampus.
- “Setelah Barnard mengumumkan hukuman serupa, jumlah penggantungan ini akan menjadi yang tertinggi dalam sejarah protes politik di Columbia dan jauh melebihi hukuman untuk aksi protes lain sebelum ini, termasuk yang tidak berkaitan dengan Palestin,” kata CUAD.
NEW YORK — Columbia University menggantung dan membuang hampir 80 pelajarnya kerana terlibat dalam siri protes pro-Palestin, termasuk mengambil alih perpustakaan kampus sebagai sebahagian daripada aksi bantahan terhadap kekejaman Israel di Gaza.
Tindakan tegas ini diumumkan pada Selasa, ketika universiti tersebut berusaha memulihkan semula dana persekutuan berjumlah USD400 juta (RM1.86 bilion) yang dibatalkan sebelum ini.
Dalam kenyataan rasmi, pihak universiti memaklumkan bahawa hukuman penggantungan dikenakan antara satu hingga tiga tahun, dan pelajar yang mahu kembali perlu menulis surat permohonan maaf kepada pihak pentadbiran.
Tindakan disiplin itu menyasarkan pelajar yang terlibat dalam pengambilalihan Perpustakaan Butler, yang dijadikan tapak “teach-in” bagi memperingati penulis Palestin Basel al-Araj yang dibunuh oleh tentera Israel pada 2017.
Para penunjuk perasaan menamakan semula lokasi itu sebagai “Universiti Popular Basel al-Araj”.
Menurut kenyataan universiti, hukuman pada 21 Julai itu ditentukan oleh panel pensyarah dan pentadbir Universiti Judicial Board (UJB) yang menilai setiap kes secara individu berdasarkan siasatan dan rekod disiplin terdahulu.
Namun, kumpulan Columbia University Apartheid Divest (CUAD) menyelar tindakan itu dan menyifatkannya sebagai hukuman politik paling besar dalam sejarah kampus.
“Setelah Barnard mengumumkan hukuman serupa, jumlah penggantungan ini akan menjadi yang tertinggi dalam sejarah protes politik di Columbia dan jauh melebihi hukuman untuk aksi protes lain sebelum ini, termasuk yang tidak berkaitan dengan Palestin,” kata CUAD.
CUAD turut mendakwa Presiden Columbia, Claire Shipman, telah mengubah struktur UJB secara tidak sah, termasuk menyingkirkan wakil pelajar dan pensyarah dalam panel semakan, bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelajar pro-Palestin.
Gelombang protes pro-Palestin telah meningkat di kampus Columbia dan universiti lain sejak bermulanya perang Israel ke atas Gaza, yang kini dianggap sebagai tindakan genosid oleh beberapa negara dan organisasi hak asasi manusia antarabangsa. -The Merdeka Times