Connect with us

Terkini

Jet tentera udara Bangladesh terhempas ke sekolah, sekurang-kurangnya 27 Terbunuh

Published

on

Foto: Sebuah pesawat latihan terhempas ke sebuah sekolah di Dhaka pada petang Isnin.
  • Seramai 171 orang berjaya diselamatkan, kebanyakannya pelajar berusia belasan tahun yang mengalami kecederaan melecur serius.
  • Sehingga kini, 20 jenazah telah diserahkan kepada keluarga mangsa. Beberapa mayat yang rentung sukar dikenal pasti dan dijangka memerlukan ujian DNA untuk pengesahan identiti.
  • Menurut kenyataan pihak tentera, pesawat buatan China jenis F-7 BGI itu mengalami kerosakan teknikal sejurus berlepas pada jam 1:06 petang.
  • Juruterbang dilaporkan cuba mengalih pesawat ke kawasan kurang penduduk sebelum terhempas ke kawasan kampus sekolah itu.

DHAKA – Suasana pilu menyelubungi ibu negara Bangladesh apabila sebuah pesawat latihan milik Tentera Udara negara itu terhempas ke sebuah sekolah di Dhaka pada petang Isnin, mengorbankan sekurang-kurangnya 27 nyawa, termasuk juruterbang dan majoritinya pelajar sekolah yang masih muda.

Kejadian tragis itu mengakibatkan kebakaran besar yang memusnahkan bangunan dua tingkat Milestone School and College, mencetuskan suasana panik dan jeritan memilukan ahli keluarga di lokasi kejadian.

Menurut pihak berkuasa, seramai 171 orang berjaya diselamatkan, kebanyakannya pelajar berusia belasan tahun yang mengalami kecederaan melecur serius. Mereka dikejarkan keluar dari lokasi menggunakan helikopter, ambulans, beca bermotor, dibantu juga anggota bomba serta ibu bapa yang datang menyelamatkan anak-anak mereka dalam ketakutan.

Sehingga kini, 20 jenazah telah diserahkan kepada keluarga mangsa. Beberapa mayat yang rentung sukar dikenal pasti dan dijangka memerlukan ujian DNA untuk pengesahan identiti, sesuatu yang menambahkan lagi keperitan keluarga yang sedang berkabung.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak tentera dan dilaporkan Associated Press, pesawat buatan China jenis F-7 BGI itu mengalami kerosakan teknikal sejurus berlepas pada jam 1:06 petang.

Juruterbang dilaporkan cuba mengalih pesawat ke kawasan kurang penduduk sebelum terhempas ke kawasan kampus Milestone School and College.

Namun, masih belum jelas bagaimana juruterbang itu meninggal dunia, sama ada beliau masih berada di dalam pesawat atau sempat keluar sebelum pesawat merempuh bangunan. Pihak tentera tidak memberikan sebarang butiran lanjut mengenai perkara itu.

Di Hospital Uttara Adhunik, lebih 60 pelajar, kebanyakannya berumur antara 12 hingga 16 tahun, dipindahkan ke hospital pakar bagi mendapatkan rawatan rapi untuk kecederaan melecur. Ramai daripada mereka kini berada dalam keadaan kritikal.

Menjelang malam Isnin, usaha menyelamat masih giat dijalankan. Pasukan penyelamat terus mencari mangsa di celah runtuhan dengan bantuan kren besar yang digunakan untuk mengalihkan serpihan.

Pelajar yang terselamat menceritakan detik-detik cemas di mana bangunan sekolah bergegar kuat sebelum letupan besar berlaku. Keadaan bertukar menjadi kelam-kabut apabila pelajar dan guru cuba menyelamatkan diri dalam suasana panik dan tidak menentu.

Sekolah Milestone terletak di kawasan padat Uttara, kira-kira 11 kilometer dari pangkalan udara A.K. Khandaker. Lokasi sekolah itu berhampiran stesen kereta api dan kawasan perniagaan serta kediaman, menjadikan tindakan pantas juruterbang untuk mengelak kemusnahan lebih besar sebagai satu langkah luar biasa.

“Juruterbang, Leftenan Penerbangan Mohammed Toukir Islam, telah berusaha sebaik mungkin untuk mengalihkan pesawat jauh dari kawasan padat penduduk ke lokasi yang lebih terpencil,” kata kenyataan rasmi pihak tentera yang turut memaklumkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar nahas.

Tragedi itu disifatkan sebagai nahas pesawat paling buruk yang pernah berlaku di ibu negara dalam sejarah terkini. Kali terakhir insiden seumpama berlaku adalah pada 2008 apabila sebuah lagi pesawat F-7 terhempas di luar Dhaka, juga akibat kerosakan teknikal.

Sebagai tanda solidariti dan penghormatan kepada mangsa, kerajaan Bangladesh mengumumkan hari berkabung nasional pada hari Selasa, dengan semua bendera dikibarkan separuh tiang. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author