Connect with us

Antarabangsa

93 terbunuh ketika cari makanan, Pope kecam kekejaman Israel di Gaza

Published

on

Foto: Ketua Gereja Katolik, Pope Leo XIV (kiri) dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan).
  • Angka korban tersebut menjadikan insiden itu antara yang paling berdarah dalam siri tembakan ke atas orang awam yang mencari bantuan makanan
  • Pope Leo turut menyuarakan kesedihan terhadap serangan udara Israel minggu lalu yang mengenai satu-satunya gereja Katolik di Gaza, menyebabkan tiga maut dan sepuluh cedera.

 

GAZA — Ketua Gereja Katolik, Pope Leo XIV mengecam keras “kebiadaban” perang di Gaza serta penggunaan kekerasan secara melulu, selepas sekurang-kurangnya 93 penduduk Palestin dilaporkan maut akibat tembakan tentera Israel ketika sedang beratur menunggu bantuan makanan berhampiran persimpangan Zikim, utara Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban tersebut menjadikan insiden itu antara yang paling berdarah dalam siri tembakan ke atas orang awam yang mencari bantuan makanan sejak sekatan ke atas wilayah itu diperketatkan awal Mac.

Tentera Israel mendakwa mereka melepaskan tembakan terhadap ribuan penduduk Palestin yang “menjadi ancaman”, namun angka korban yang disahkan Gaza jauh lebih tinggi daripada dapatan awal siasatan tentera.

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Basal turut memaklumkan bahawa sembilan lagi maut ditembak berhampiran lokasi bantuan di Rafah selatan dan empat lagi di Khan Younis.

Serentak itu, Pengarah Hospital al-Shifa, Dr. Mohammed Abu Salmiya melaporkan bahawa sejak pagi Ahad sahaja, 48 mayat dan 150 orang cedera dihantar ke hospital, kebanyakannya akibat tembakan ketika menunggu lori bantuan.

Program Makanan Dunia (WFP) PBB dalam kenyataan menyifatkan keadaan itu sebagai tidak boleh diterima.

“Sebarang keganasan ke atas orang awam yang sedang mencari bantuan kemanusiaan adalah amat dikesali,” jelas kenyataan tersebut.

Konvoi WFP dilaporkan diserang ketika dikerumuni ribuan penduduk lapar berhampiran Gaza City.

Dalam seruan terbaru dari kediaman musim panas beliau di Castel Gandolfo, Itali, Pope Leo turut menyuarakan kesedihan terhadap serangan udara Israel minggu lalu yang mengenai satu-satunya gereja Katolik di Gaza, menyebabkan tiga maut dan sepuluh cedera.

Beliau menyifatkan serangan ke atas rumah ibadat dan orang awam ini sebagai “hukuman kolektif” yang bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author