Antarabangsa
Anak gajah mati dipijak ibu sendiri di Myanmar

- Peal Sanda (Gajah) melahirkan pasangan kembar – Kyaw Pearl (jantan) dan Pearl Sint (betina) – pada 26 Ogos tahun lalu. Kelahiran gajah kembar adalah kejadian yang amat jarang berlaku.
- Kyaw Pearl alami kecederaan pada tulang belakang selepas ibunya, tiba-tiba berdiri untuk melindungi anak-anaknya akibat gangguan salakan anjing pada malam 3 Mei.
- “Meskipun diberikan penjagaan khas siang dan malam, Kyaw Pearl disahkan mati pada 5.30 pagi, 6 Julai lalu. Bangkainya ditanam dengan sempurna di kawasan kem,” kata pegawai kem itu .
PHNOM PENH — Seekor anak gajah kembar ditemukan mati pada Ahad selepas dipijak secara tidak sengaja oleh ibunya, hanya beberapa minggu sebelum menyambut ulang tahun kelahiran pertamanya.
Peal Sanda melahirkan pasangan kembar – Kyaw Pearl (jantan) dan Pearl Sint (betina) – pada 26 Ogos tahun lalu. Kelahiran gajah kembar adalah kejadian yang amat jarang berlaku.
Menurut akhbar milik kerajaan The Global New Light of Myanmar, Kyaw Pearl mengalami kecederaan pada tulang belakang selepas ibunya, tiba-tiba berdiri untuk melindungi anak-anaknya akibat gangguan salakan anjing pada malam 3 Mei.
Dalam kejadian itu, kaki Peal Sanda terkena tubuh Kyaw Pearl yang sedang tidur berhampiran, menyebabkan kecederaan serius pada tulang belakangnya.
“Meskipun diberikan penjagaan khas siang dan malam, Kyaw Pearl disahkan mati pada 5.30 pagi, 6 Julai lalu. Bangkainya ditanam dengan sempurna di kawasan kem,” kata pegawai kem itu seperti dilaporkan media kerajaan.
Insiden menyayat hati ini menarik perhatian luas media dan mencetuskan simpati orang ramai khususnya dalam kalangan pencinta haiwan.
“Kami pernah pertimbangkan untuk melakukan pembedahan. Namun ketika itu, Kyaw Pearl baru berusia lapan bulan dan mengalami tekanan hebat akibat pelbagai kecederaan serta tidak mampu berjalan. Usia yang terlalu muda menyukarkan sebarang prosedur pembedahan,” kata pihak kem.
Laporan bedah siasat menunjukkan tulang belakangnya terkehel, menekan saraf tunjang hingga menyebabkan anak gajah itu lumpuh dan akhirnya membawa kepada kematian.
Kem Gajah Wingabaw seluas 80 ekar di wilayah Bago, kira-kira 50 kilometer dari Yangon, menempatkan 14 ekor gajah.
Pakar menjelaskan bahawa secara purata, gajah betina hanya boleh melahirkan tidak lebih enam kali sepanjang hayatnya dan lazimnya hanya seekor anak bagi setiap kelahiran.
Di Myanmar, gajah mempunyai nilai budaya, sejarah dan ekonomi yang tinggi serta sering disanjung sebagai lambang kekuatan dan kuasa.
Selepas India, Myanmar merupakan negara kedua terbesar dari segi populasi gajah Asia (Elephas maximus), dan dianggarkan dihuni sekitar 2,000 ekor. Banyak gajah terlatih digunakan dalam industri pembalakan negara itu.– BERNAMA
