Antarabangsa
Syarikat bekas ejen CIA kendali agihan bantuan di Gaza

- Sebuah operasi pengagihan bantuan kemanusiaan yang kontroversi di Gaza kini menjadi tumpuan apabila didedahkan dikendalikan oleh syarikat Safe Reach Solutions (SRS), yang diketuai oleh bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA), Phil Reilly.
- Jurucakap SRS mengesahkan bahawa mereka bekerjasama dengan Gaza Humanitarian Foundation (GHF), namun enggan menjawab soalan berkaitan pemilikan syarikat.
- PBB dan kebanyakan NGO antarabangsa enggan bekerjasama dengan GHF.
- Mereka mendakwa operasi tersebut tidak neutral dan telah mempolitikkan serta memiliterisasi bantuan kemanusiaan, sekali gus memaksa perpindahan penduduk.
WASHINGTON – Sebuah operasi pengagihan bantuan kemanusiaan yang kontroversi di Gaza kini menjadi tumpuan apabila didedahkan dikendalikan oleh syarikat Safe Reach Solutions (SRS), yang diketuai oleh bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA), Phil Reilly, dan menerima sokongan kewangan daripada firma pelaburan swasta berpangkalan di Chicago.
Firma tersebut, McNally Capital dikawal oleh keturunan pengasas syarikat penerbitan Rand McNally mengesahkan kepada Reuters bahawa mereka mempunyai “kepentingan ekonomi” dalam SRS, sebuah syarikat yang ditubuhkan di Wyoming pada November lalu.
Menurut jurucakap McNally Capital, syarikat itu “memberi nasihat pentadbiran” kepada SRS dan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan misi kemanusiaan SRS dapat dijalankan di Gaza melalui kerjasama dengan Gaza Humanitarian Foundation (GHF).
GHF mula mengagihkan bantuan minggu lalu dengan sokongan Amerika Syarikat dan Israel, namun operasi tersebut terpaksa dihentikan sementara pada Rabu lalu susulan beberapa insiden tembakan maut berhampiran lokasi pengagihan.
Sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin terbunuh dan ramai cedera dalam kejadian pada hari Selasa, yang menandakan tiga hari berturut-turut keganasan sekitar pusat bantuan.
Tentera zionis Israel mengesahkan bahawa mereka melepaskan tembakan terhadap sekumpulan individu yang dikatakan keluar dari laluan yang ditetapkan berhampiran pusat agihan di Rafah.
Pihak tentera menyatakan siasatan sedang dijalankan.
Walaupun GHF menyambung semula operasi pada Khamis, ramai pegawai kanan dilaporkan telah berundur, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kebanyakan NGO antarabangsa enggan bekerjasama dengan GHF.
Mereka mendakwa operasi tersebut tidak neutral dan telah mempolitikkan serta memiliterisasi bantuan kemanusiaan, sekali gus memaksa perpindahan penduduk.
Kerajaan Israel sebelum ini telah menyekat hampir semua bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza selama 11 minggu dan hanya membenarkan pengedaran terhad selepas 19 Mei yang kebanyakannya dikendalikan oleh GHF.
Jurucakap SRS mengesahkan bahawa mereka bekerjasama dengan GHF, namun enggan menjawab soalan berkaitan pemilikan syarikat.
Sementara itu, McNally Capital tidak mendedahkan jumlah pelaburan mereka dalam SRS tetapi menyatakan bahawa mereka menguruskan dana sebanyak AS$380 juta.
Kerajaan Amerika Syarikat dan Israel menafikan membiayai secara langsung operasi GHF, namun tetap mendesak agensi bantuan antarabangsa bekerjasama dengan entiti tersebut atas dakwaan bahawa bantuan PBB telah disalahguna oleh Hamas, tuduhan yang dinafikan Hamas. -The Merdeka Times
