Connect with us

Antarabangsa

Saksi dedah pengawal bantuan Gaza sengaja tembak rakyat Palestin, jadikan bahan lawak

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan
  • Menurut bekas pengawal keselamatan GHF, tiada peraturan jelas mengenai penggunaan senjata atau prosedur operasi standard. Malah, salah seorang ketua pasukan pernah berkata: “Kalau rasa terancam, tembak. Tembak untuk bunuh, soal siasat kemudian.”
  • “Seorang lelaki Palestin ditembak dan rebah serta-merta, tidak bergerak. Pengawal lain yang berada di situ berseloroh, ‘alamak, nampaknya kau terkena satu’, lalu mereka ketawa.”
  • “Budaya kerja mereka penuh keangkuhan seolah-olah ‘Kita masuk Gaza, tiada undang-undang, buat apa saja sesuka hati’”.

GAZA – Seorang bekas pengawal keselamatan yang pernah bekerja di tapak pengagihan bantuan di Gaza, mendedahkan beliau menyaksikan sendiri rakan-rakannya melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang kelaparan, tanpa sebarang ancaman daripada mereka. Lebih memilukan, tembakan itu termasuk tembakan mesingan.

Dalam satu insiden yang menyayat hati, beliau menceritakan bagaimana seorang pengawal melepaskan tembakan dari menara kawalan hanya kerana sekumpulan wanita, kanak-kanak dan warga emas bergerak terlalu perlahan menjauhi kawasan bantuan.

“Sewaktu kejadian itu, seorang lagi pengawal yang berdiri di atas benteng menghala ke arah keluar, melepaskan 15 hingga 20 das tembakan ke arah orang ramai.

“Seorang lelaki Palestin rebah serta-merta, tidak bergerak. Pengawal lain yang berada di situ berseloroh, ‘alamak, nampaknya kau terkena satu’, lalu mereka ketawa,” katanya.

Pendedahan ini dibuat kepada BBC dengan syarat kerahsiaan identitinya dijaga. Beliau turut mendedahkan bagaimana pihak pengurusan Gaza Humanitarian Fund (GHF) memperlekeh laporan tersebut, kononnya lelaki Palestin itu mungkin ‘tergelincir’ atau ‘pengsan kerana keletihan’.

GHF menuduh lelaki yang membuat pendedahan itu sebagai ‘bekas pengawal yang tidak puas hati’ dan mendakwa beliau dipecat kerana salah laku – satu tuduhan yang beliau nafikan.

Bagaimanapun lelaki itu menunjukkan slip gaji sebagai bukti bahawa beliau masih menerima bayaran selama dua minggu selepas meninggalkan tugas.

Lelaki terbabit juga mendakwa telah bekerja di keempat-empat tapak agihan GHF, dan menggambarkan suasana ‘tidak berperaturan’ dengan budaya kebal dari tindakan undang-undang.

Menurutnya, tiada peraturan jelas mengenai penggunaan senjata atau prosedur operasi standard. Malah, salah seorang ketua pasukan pernah berkata: “Kalau rasa terancam, tembak. Tembak untuk bunuh, soal siasat kemudian.”

“Budaya kerja mereka, katanya, penuh keangkuhan seolah-olah: “Kita masuk Gaza, tiada undang-undang, buat apa saja sesuka hati.’

“Jika seseorang Palestin berjalan menjauhi tapak tanpa sebarang ancaman, dan kita tetap menembak ke arah mereka, kita salah. Itu satu kecuaian jenayah,” tegasnya lagi.

Beliau turut mendedahkan bahawa setiap tapak GHF mempunyai rakaman CCTV, dan penafian GHF bahawa tiada siapa yang dicederakan adalah satu “pembohongan terang-terangan”.

GHF mendakwa bunyi tembakan yang dirakam datang daripada tentera Israel. Namun bekas kontraktor itu mendedahkan bahawa ketua pasukan sering merujuk rakyat Gaza sebagai “gerombolan zombi” – satu penghinaan yang menggambarkan rakyat Palestin tiada nilai kemanusiaan.

Beliau juga menyatakan bahawa rakyat Palestin turut tercedera dalam pelbagai cara lain di tapak GHF – termasuk terkena serpihan bom kejutan, disembur semburan pemedih mata, dan ditolak hingga terjatuh ke atas dawai berduri.

Dalam satu kejadian, bekas pengawal keselamatan mendedahkan seorang lelaki disembur penuh sebotol pemedih mata ke wajahnya.

Seorang wanita pula terkena serpihan logam dari bom kejutan yang ditembak secara cuai ke arah orang ramai.

“Logam itu mengenai kepalanya secara langsung. Dia terus rebah dan tidak bergerak. Saya tak pasti sama ada dia meninggal dunia, tetapi yang pasti dia pengsan dan tubuhnya tidak bergerak langsung,” katanya.

Awal minggu ini, lebih 170 badan amal dan NGO, termasuk Oxfam dan Save the Children, mendesak agar GHF ditutup. Mereka menyatakan bahawa tentera Israel dan kumpulan bersenjata sering kali melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang mencari bantuan. – The Merdeka Times

Author