Terkini
Ahmad Zahid persembah surat palsu kepada Agong sokong Anwar PM ke-10
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menegaskan surat BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahlinya.
SHAH ALAM – Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menegaskan surat BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahlinya.
Menurutnya, ia tidak dibuat secara konsensus.
“Ditegaskan bahawa isi kandungan surat bertarikh 22 November 2022 dengan menggunakan kepala surat (letterhead) BN yang ditandatangani Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, bukanlah keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 22 November 2022,” kata Sin Woon dalam kenyataan di sini semalam.
Sebaliknya, beliau berkata, Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pinak buat masa ini.
Katanya, BN juga sudah bersedia untuk menjadi parti pembangkang di Parlimen.
“Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi, MCA dan parti-parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.
“Pada mulanya beliau cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih.
“Surat yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi
BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baginda,” katanya.
Justeru itu, MCA percaya Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai Pengerusi.
“Kami sekali lagi menggesa agar beliau meletakkan jawatan secara terhormat seterusnya digantikan dengan Datuk Seri Mohamad Hasan seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi (kelmarin),” katanya. — The Merdeka Times