Antarabangsa
Kadar kelahiran merosot, Vietnam mansuh polisi dua anak

- Sebelum ini, ahli Parti Komunis dikenakan peraturan lebih ketat, termasuk risiko kehilangan bonus dan kenaikan pangkat jika mempunyai anak ketiga.
- Penurunan kadar kelahiran ini menimbulkan kebimbangan terhadap ketersediaan tenaga kerja masa depan dan peningkatan kos penjagaan warga emas.
- Vietnam turut berdepan ketidakseimbangan jantina akibat keutamaan terhadap anak lelaki.
HANOI — Vietnam mansuhkan dasar dua anak yang telah lama diamalkan, dalam usaha mengatasi penurunan kadar kelahiran dan menangani kesan populasi yang semakin menua terhadap pertumbuhan ekonomi.
Menurut laporan Agensi Berita Vietnam, pindaan undang-undang yang melonggarkan had jumlah anak telah diluluskan oleh Perhimpunan Kebangsaan.
Sebelum ini, ahli Parti Komunis dikenakan peraturan lebih ketat, termasuk risiko kehilangan bonus dan kenaikan pangkat jika mempunyai anak ketiga.
Data menunjukkan kadar kelahiran terus merosot sejak 2021, dengan purata kelahiran per wanita menurun daripada 2.11 kepada 1.91 pada tahun 2024 di bawah kadar penggantian populasi jangka panjang.
Vietnam kini berdepan situasi yang sama seperti negara Asia lain seperti Jepun dan Korea Selatan, namun berbeza kerana ia masih merupakan negara membangun.
Penurunan kadar kelahiran ini menimbulkan kebimbangan terhadap ketersediaan tenaga kerja masa depan dan peningkatan kos penjagaan warga emas.
Dasar dua anak diperkenalkan pada tahun 1988 sebagai langkah mengawal pertambahan populasi pascaperang ketika Vietnam beralih kepada ekonomi pasaran. Populasi negara meningkat daripada 62 juta kepada lebih 100 juta pada tahun 2023.
Vietnam turut berdepan ketidakseimbangan jantina akibat keutamaan terhadap anak lelaki.
Walaupun pengguguran janin berdasarkan jantina diharamkan, laporan menunjukkan sesetengah doktor masih memberikan petunjuk jantina bayi secara tersirat. Kementerian Kesihatan kini mencadangkan denda lebih tinggi bagi kesalahan ini.
Dengan tempoh “populasi emas” dijangka berakhir menjelang 2039, dan bilangan tenaga kerja memuncak pada 2042, pakar memberi amaran bahawa Vietnam perlu bertindak segera untuk memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang dan mengelakkan kemerosotan populasi seperti yang dialami negara-negara jiran. -The Merdeka Times
