Connect with us

Antarabangsa

326 penduduk Gaza mati kebuluran, lebih 300 wanita hamil keguguran akibat sekatan Israel

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Sekatan 80 hari oleh Israel telah menyebabkan 326 kematian akibat kekurangan makanan dan ubat-ubatan, serta lebih 300 kes keguguran dalam kalangan wanita hamil.
  • “Dasar kelaparan yang dilaksanakan rejim Zionis adalah jenayah yang menyamai genosid.” – Pejabat Media Gaza
  • Gaza memerlukan 500 trak bantuan dan 50 trak bahan api setiap hari untuk menyokong kemudahan asas dan perubatan, namun kesemua bantuan telah disekat sejak Mac.

 

GAZA – Pejabat Media Gaza melaporkan bahawa sekatan selama 80 hari oleh Israel telah menyebabkan 326 kematian akibat kekurangan makanan dan ubat-ubatan, serta lebih 300 kes keguguran dalam kalangan wanita hamil.

Menurut kenyataan rasmi, sejak 2 Mac, Israel telah menyekat sepenuhnya kemasukan bantuan kemanusiaan, bekalan perubatan dan bahan api ke Gaza, menyebabkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

“Dasar kelaparan yang dilaksanakan rejim Zionis adalah jenayah yang menyamai genosid,” tegas kenyataan itu, sambil memberi amaran bahawa lebih 2.4 juta penduduk Gaza kini terancam.

Daripada jumlah korban, 58 mangsa mati akibat kekurangan zat makanan, manakala 242 lagi maut akibat ketiadaan makanan dan ubat-ubatan, terutama warga emas.

Tambahan 26 pesakit buah pinggang turut terkorban kerana ketiadaan rawatan. Lebih 300 keguguran pula dilaporkan akibat kekurangan nutrien penting.

Pejabat itu turut menyatakan bahawa hospital kini mengalami kekurangan bekalan darah dan tidak mampu memenuhi keperluan pesakit yang semakin ramai.

Gaza dilaporkan memerlukan 500 trak bantuan dan 50 trak bahan api setiap hari untuk menyokong kemudahan asas dan perubatan, namun kesemua bantuan telah disekat sejak Mac.

Sementara itu, tentera Israel meneruskan operasi darat di utara dan selatan Gaza, dalam kempen ketenteraan yang telah mengorbankan hampir 53,600 rakyat Palestin sejak Oktober 2023.

Israel kini berdepan siasatan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan waran tangkap daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant. -The Merdeka Times

 

Author