Terkini
Jumlah pelancong China ke Pulau Pinang meningkat 218.86 peratus

- EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata peningkatan ketara itu adalah hasil pelbagai inisiatif proaktif kerajaan negeri, termasuk pengukuhan akses udara secara terus dari bandar-bandar utama China ke Pulau Pinang serta promosi agresif menerusi platform digital.
- “Jumlah ketibaan pelancong China melalui ketibaan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah meningkat daripada 37,711 pada tahun 2023 kepada 120,245 pada 2024.
- “Ini merupakan peningkatan yang amat ketara berbanding hanya 5,918 pada tahun 2022 dan membuktikan bahawa China kekal sebagai pasaran utama pelancongan antarabangsa bagi negeri ini,” katanya dipetik BH semalam.
KUALA LUMPUR — Jumlah pelancong dari China ke Pulau Pinang meningkat sebanyak 218.86 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata China merupakan antara pasaran pelancongan luar negara terbesar di negeri itu.
Beliau berkata peningkatan ketara itu adalah hasil pelbagai inisiatif proaktif kerajaan negeri, termasuk pengukuhan akses udara secara terus dari bandar-bandar utama China ke Pulau Pinang serta promosi agresif menerusi platform digital.
“Jumlah ketibaan pelancong China melalui ketibaan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah meningkat daripada 37,711 pada tahun 2023 kepada 120,245 pada 2024.
“Ini merupakan peningkatan yang amat ketara berbanding hanya 5,918 pada tahun 2022 dan membuktikan bahawa China kekal sebagai pasaran utama pelancongan antarabangsa bagi negeri ini,” katanya dipetik BH semalam.
Hon Wai (DAP–Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan Ong Ah Teong (DAP–Batu Lancang) mengenai strategi dan pencapaian kerajaan negeri dalam menerokai pasaran pelancongan dari China.
Mengulas lanjut, Hon Wai berkata antara usaha utama kerajaan negeri, termasuk penambahan tujuh penerbangan terus baharu dari China ke Pulau Pinang sejak Ogos 2023 hingga April 2025 melibatkan syarikat penerbangan seperti Xiamen Airlines, Juneyao Airlines, Shenzhen Airlines, Shanghai Airlines, AirAsia, Hong Kong Express dan Sichuan Airlines. — The Merdeka Times
