Connect with us

Antarabangsa

Lebih banyak diskriminasi menanti umat Islam Britain di bawah pemerintahan Sunak?

Lebih banyak diskriminasi dijangka menanti umat Islam di bawah pemerintahan Rishi Sunak, demikian menurut seorang saintis politik Britain berdasarkan penggunaan retorik diskriminasi ke atas umat Islam oleh Perdana Menteri Britain itu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Lebih banyak diskriminasi menanti umat Islam Britain di bawah pemerintahan Sunak
Foto: Rishi Sunak (tengah), Perdana Menteri Britain.
  • Umat Islam di Britain dijangka menghadapi lebih banyak diskriminasi di bawah pemerintahan Perdana Menteri baharu, Rishi Sunak, kata saintis politik Britain, Muhammed Cagri Bilir.
  • Ini berdasarkan penggunaan retorik diskriminasi ke atas umat Islam oleh Perdana Menteri Britain itu.
  •  “Apabila Sunak melancarkan kempen untuk kepimpinan Konservatif (menjadi Perdana Menteri), dia menerbitkan wacana seperti memerangi ‘ekstremisme Islam’ dan menyamakan Islam dengan keganasan.
  • “Dia juga dikritik kerana mengabaikan tuntutan timbalan menteri Islam untuk mewujudkan pendirian jelas menentang Islamofobia,” kata Bilir.

Lebih banyak diskriminasi dijangka menanti umat Islam di bawah pemerintahan Rishi Sunak, demikian menurut seorang saintis politik Britain berdasarkan penggunaan retorik diskriminasi ke atas umat Islam oleh Perdana Menteri Britain itu.

Menurut Middle East Monitor memetik laporan agensi berita Anadolu, Setiausaha Dalam Negeri Britain dilantik Sunak, Suella Braverman dikritik akhir bulan lalu selepas menyifatkan individu memohon suaka di negara itu, yang mana ramai berkulit gelap dan selalunya dari negara Islam, sebagai satu “pencerobohan”. 

Braverman sehingga kini masih memegang jawatannya walaupun mengeluarkan kenyataan berunsur kebencian seperti itu.

Kenyataan Braverman dan kenyataan Sunak tentang Islam dan ekstremisme menunjukkan hala tuju dasar imigresen kerajaan, kata Muhammed Cagri Bilir dari Pusat Pengajian Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Leeds.

“Apabila Sunak melancarkan kempen untuk kepimpinan Konservatif (menjadi Perdana Menteri), dia menerbitkan wacana seperti memerangi ‘ekstremisme Islam’ dan menyamakan Islam dengan keganasan”, kata Bilir kepada media.

“Dia juga dikritik kerana mengabaikan tuntutan timbalan menteri Islam untuk mewujudkan pendirian jelas menentang Islamofobia. Akibatnya, beliau menerima banyak kritikan,” katanya.

Kajian pada 2019 mendapati sentimen anti-Islam berleluasa dalam Parti Konservatif dan Boris Johnson, yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, terkenal dengan membuat kenyataan anti-Islam.

“Tidak banyak yang akan berubah dalam pemerintahan Sunak,” kata Bilir, sambil memberi amaran bahawa sebenarnya, “kita sedang memasuki tempoh di mana lebih banyak diskriminasi menanti umat Islam”.

“Dalam pendekatan kerajaan Sunak terhadap imigresen, pemohon suaka dikategorikan dan perbezaan dibuat sama ada mereka benar-benar melarikan diri daripada pelanggaran hak asasi manusia atau sama ada mereka datang hanya dengan motif ekonomi,” katanya.

“Kesahihan permohonan suaka bagi mereka yang datang dengan bot, terutama melalui Perancis, sedang dipersoalkan,” jelas beliau.

Bilir berkata mereka yang memohon suaka di Britain akan diperiksa dengan ketat di bawah rancangan Rwanda, sebuah pelan kontroversi diumumkan Boris Johnson pada April lalu, untuk menghantar pemohon suaka ke negara kecil Rwanda di Afrika untuk menunggu keputusan.

Terdahulu, Sunak menggantikan Liz Truss sebagai Perdana Menteri pada 24 Oktober lalu selepas 44 hari memegang jawatan itu, pemerintahan terpendek dalam sejarah Britain.

Sunak, yang keturunannya berasal dari India, mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri pertama negara itu dari latar belakang Asia.

Sumber: Middle East Monitor

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *