Connect with us

Politik

Kritikan Nurul Izzah terhadap lantikan semula Azam Baki hipokrasi politik – MUDA

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (kiri) & Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (kanan)
  • MUDA menyifatkan kritikan calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar terhadap pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai hipokrasi politik yang sudah basi.
  • MUDA menegaskan pihak terbabit tidak boleh mengangkat slogan reformasi dengan tangan kanan, sementara tangan kiri pula menandatangani perlanjutan kontrak individu yang menjadi simbol kemerosotan integriti institusi.
  • Parti politik itu juga mempersoalkan kenyataan anak Perdana Menteri itu berhubung ‘perlu keberanian’ dengan bertanya keberanian siapa yang dimaksudkan beliau.
  • “Bila keluarga sendiri di tampuk kuasa, kononnya ‘berani’ bersuara hanya selepas rakyat bising? Rakyat nampak semuanya—politik dua wajah ini bukan sahaja menjengkelkan, ia menghina semangat reformasi sebenar yang pernah diperjuangkan dahulu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

KUALA LUMPUR — Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan kritikan calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar terhadap pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai hipokrasi politik yang sudah basi.

MUDA menegaskan pihak terbabit tidak boleh mengangkat slogan reformasi dengan tangan kanan, sementara tangan kiri pula menandatangani perlanjutan kontrak individu yang menjadi simbol kemerosotan integriti institusi.

Parti politik itu juga mempersoalkan kenyataan anak Perdana Menteri itu berhubung ‘perlu keberanian’ dengan bertanya keberanian siapa yang dimaksudkan beliau.

“Bila keluarga sendiri di tampuk kuasa, kononnya ‘berani’ bersuara hanya selepas rakyat bising? Rakyat nampak semuanya—politik dua wajah ini bukan sahaja menjengkelkan, ia menghina semangat reformasi sebenar yang pernah diperjuangkan dahulu.

“Kritikan Nurul Izzah datang selepas pelantikan ketiga Azam Baki, di bawah pentadbiran bapanya sendiri, Perdana Menteri Anwar Ibrahim… Ironinya, ini bukan sekadar “suara keberanian,” tetapi satu contoh klasik hipokrasi politik yang sudah basi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah MUDA, pelantikan semula Azam Baki, individu yang masih dibayangi kontroversi adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap idealisme reformasi.

Ia juga dikatakan bukti bahawa kerajaan hari ini telah memilih kestabilan politik yang selesa berbanding keberanian moral untuk berubah.

“MUDA yakin rakyat sudah muak dengan skrip politik tua sebegini—skrip lama yang diulang tayang dengan watak-watak yang lupa asal perjuangan mereka sebaik sahaja dapat kuasa.

“Menteri-menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan kini terlalu selesa, terlalu “complacent”. Janji-janji reformasi hanya tinggal poster PRU dan retorik sidang media,” kata MUDA.

Dalam masa sama, MUDA turut mempersoalkan tindakan diam seribu bahasa Timbalan Presiden PKR, Datuk Rafizi Ramli mengenai pelantikan semula itu sedangkan dulu ia kononnya paling lantang mengejar Azam Baki pada 2022.

“Ambil cuti untuk urus pemilihan parti, tapi tak mampu buka mulut tentang perlantikan Azam buat kali ketiga? Sungguh ironi. Dulu sanggup melawan, sekarang senyap bila ada kuasa. Beginikah perjuangan prinsip atau sekadar drama demi jawatan?

“Adakah ini MADANI? Atau edisi politik baru Pakatan Harapan yang cuma lebih licik? Cukup-cukuplah. Rakyat bukan penonton biasa dalam teater politik kamu,” katanya.

MUDA turut mengingatkan Nurul Izzah, Rafizi, serta seluruh pimpinan Pakatan Harapan sekiranya mereka benar menginginkan perubahan supaya membuktikan perkara itu dengan tindakan dan bukannya hanya menerusi kenyataan bermusim menjelang pemilihan parti.

Foto: Tangkap layar kenyataan media MUDA.

Nurul Izzah pada Sabtu dilapor mengkritik pelantikan semula Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya SPRM buat kali ketiga bagi tempoh setahun lagi berkuat kuasa 13 Mei ini sebagai keputusan yang “tidak dialu-alukan”.

Calon timbalan presiden PKR itu berkata pelantikan Azam itu menyukarkan perubahan mendasar berlaku dalam sistem pentadbiran.

Menurut beliau, kita memerlukan keberanian penjawat awam, pimpinan serta anggota parti dan lainnya untuk memastikan kita mempunyai kekuatan iltizam bagi membuat pilihan baru. — The Merdeka Times

 

Author