Antarabangsa
Wakil khas AS selar Israel lanjutkan perang tanpa keperluan, sukarkan pembebasan tawanan

- Menurut laporan Channel 12, Wakil Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff memaklumkan kepada keluarga tawanan bahawa Amerika Syarikat mahu membawa pulang para tahanan, tetapi Israel belum bersedia untuk menamatkan perang.
- “Israel sedang melanjutkan perang ini walaupun kami tidak melihat sebarang kemajuan yang boleh dicapai lagi,” katanya menurut sumber yang menghadiri pertemuan itu.
- Channel 12 melaporkan bahawa keluarga para tahanan menyatakan mereka tidak pernah mendengar kritikan seperti itu terhadap dasar kerajaan Israel daripada Witkoff sebelum ini.
WASHINGTON – Wakil Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff, dilapor telah menyatakan kepada keluarga tahanan yang ditawan di Gaza bahawa beliau tidak bersetuju dengan pendekatan Israel terhadap perang di wilayah itu, dan percaya bahawa langkah terbaik kini adalah mencapai satu perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tahanan seterusnya.
Menurut laporan Channel 12 pada Ahad, Witkoff memaklumkan kepada keluarga berkenaan bahawa Amerika Syarikat mahu membawa pulang para tahanan, tetapi Israel belum bersedia untuk menamatkan perang.
“Israel sedang melanjutkan perang ini walaupun kami tidak melihat sebarang kemajuan yang boleh dicapai lagi,” katanya menurut sumber yang menghadiri pertemuan itu.
Channel 12 melaporkan bahawa keluarga para tahanan menyatakan mereka tidak pernah mendengar kritikan seperti itu terhadap dasar kerajaan Israel daripada Witkoff sebelum ini.
Sementara itu, pegawai kanan Israel yang tidak dinamakan memberi amaran bahawa sekiranya tiada perjanjian tercapai sebelum lawatan Presiden AS, Donald Trump, ke Timur Tengah berakhir, Israel akan melancarkan operasi darat dan ia akan mengambil masa beberapa minggu sebelum mencapai ‘titik keluar’ seterusnya.
“Setelah operasi dilaksanakan, ia tidak akan dihentikan dengan cepat. Hamas tidak akan menentukan garis masa,” jelas pegawai kanan negara haram Israel.
Laporan itu turut menyebut bahawa Israel terbuka kepada pelbagai cadangan termasuk apa yang dipanggil sebagai “cadangan Witkoff versi ringan” namun jika Hamas terus menolak untuk bersetuju dengan perjanjian, tiada pilihan lain selain melaksanakan operasi yang lebih agresif dan berpanjangan.
Cadangan yang digelar sebagai “Cadangan Witkoff” sebenarnya lebih merupakan tawaran Israel melibatkan pembebasan kira-kira separuh daripada tahanan yang masih hidup sebagai pertukaran kepada gencatan senjata jangka panjang, diikuti dengan pembebasan baki tahanan serta penamatan perang.
Rangkaian berita itu juga melaporkan bahawa Witkoff sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak utama pada malam Ahad, dalam usaha membentuk kerangka rundingan perjanjian dalam minggu ini.
Sumber berita Walla turut melaporkan bahawa Witkoff sedang berbincang dengan Hamas, Qatar, Mesir dan Israel berkenaan perjanjian tahanan serta ketenangan jangka panjang.
Susulan laporan tersebut, Hamas pada Ahad malam mengumumkan bahawa mereka akan membebaskan askar tebusan Amerika-Israel, Edan Alexander, yang dipercayai merupakan warganegara AS terakhir yang masih hidup dan ditahan di Gaza, dan salah seorang daripada 59 tahanan yang masih ditahan oleh pejuang Palestin.
Alexander telah ditawan dari dalam keretanya semasa serangan yang diketuai Hamas pada 7 Oktober 2023 di selatan jajahan haram Israel. Beliau telah ditahan di Gaza selama lebih 580 hari. -The Merdeka Times
