Antarabangsa
Zelensky tawar bertemu Putin di Turkiye ‘secara peribadi’

- “Kami menantikan satu gencatan senjata yang menyeluruh dan berkekalan, bermula esok, bagi menyediakan asas yang kukuh untuk diplomasi,” kata Zelensky menerusi satu hantaran di platform X.
- “Tiada faedah untuk terus membiarkan pembunuhan berterusan. Dan saya akan menunggu Putin di Türkiye pada hari Khamis. Secara peribadi. Saya berharap kali ini pihak Rusia tidak akan mencari alasan,” tambah beliau.
- Untuk rekod, Moscow dan Kyiv tidak lagi mengadakan rundingan bersemuka sejak Mac 2022 selepas Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari tahun yang sama.
KYIV – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, pada Ahad menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Turkiye “secara peribadi”, susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menggesa rundingan langsung bagi menentukan sama ada perdamaian masih boleh dicapai.
Kremlin masih belum memberikan maklum balas terhadap tawaran Zelensky itu, dan pemimpin Ukraine tersebut tidak menyatakan sama ada beliau tetap akan hadir sekiranya Rusia menolak cadangan gencatan senjata selama 30 hari yang dikemukakan oleh Kyiv dan sekutunya pada Sabtu lalu.
Untuk rekod, Moscow dan Kyiv tidak lagi mengadakan rundingan bersemuka sejak Mac 2022 selepas Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari tahun yang sama.
“Kami menantikan satu gencatan senjata yang menyeluruh dan berkekalan, bermula esok, bagi menyediakan asas yang kukuh untuk diplomasi,” kata Zelensky menerusi satu hantaran di platform X.
“Tiada faedah untuk terus membiarkan pembunuhan berterusan. Dan saya akan menunggu Putin di Türkiye pada hari Khamis. Secara peribadi. Saya berharap kali ini pihak Rusia tidak akan mencari alasan,” tambah beliau.
Dalam kenyataan pada awal pagi Ahad, Putin telah mencadangkan supaya rundingan yang pernah diadakan di Istanbul pada Mac 2022 disambung semula.
Namun beliau tidak memberikan sebarang reaksi terhadap cadangan gencatan senjata 30 hari yang dikemukakan oleh sekutu Ukraine.
Sementara itu, Trump di platform Truth Social miliknya menyatakan Presiden Putin tidak mahu mencapai Perjanjian Gencatan Senjata dengan Ukraine, sebaliknya mahu bertemu pada hari Khamis di Turki bagi membuat rundingan untuk menamatkan pertumpahan darah ini.
“Ukraine sepatutnya bersetuju dengan ini, SEGERA. Sekurang-kurangnya mereka akan tahu sama ada perjanjian boleh dicapai atau tidak, dan jika tidak, para pemimpin Eropah serta Amerika Syarikat akan tahu kedudukan sebenar dan boleh bertindak sewajarnya,” katanya. -The Merdeka Times
