Terkini
Tebus tanah masjid: ‘Umat Islam beli tanah, tidak cetus polemik’ – Firdaus Wong

- “Umat Islam umat yang bermaruah. Kita membina masjid atau surau dengan membeli tanah, tidak mempolemikkan isu menjadi isu perkauman atau agama.”
- Demikian respon pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung berhubung kejayaan kutipan dana mencecah hampir RM2 juta dalam tempoh kurang 36 jam bagi menebus semula sebahagian tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu yang dijual kepada seorang individu bukan beragama Islam.
- “Allah mengajar kita semua. Umat Islam boleh bersatu kalau mahu. Nak seribu daya tak nak seribu dalih,” katanya menerusi kenyataan kepada media tempatan.
KUALA LUMPUR — “Umat Islam umat yang bermaruah. Kita membina masjid atau surau dengan membeli tanah, tidak mempolemikkan isu menjadi isu perkauman atau agama.”
Demikian respon pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung berhubung kejayaan kutipan dana mencecah hampir RM2 juta dalam tempoh kurang 36 jam bagi menebus semula sebahagian tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu yang dijual kepada seorang individu bukan beragama Islam.
Pengerusi masjid, Yusuf Majid semalam dilapor berkata sejumlah RM1,977,482.20 berjaya dikumpul setakat jam 8 malam pada Rabu, melebihi sasaran asal RM1.8 juta yang ditetapkan pemilik tanah berkenaan bagi urusan jual beli.
Turut terlibat menyebarkan maklumat kutipan dana di platform media sosial, Firdaus berkata sambutan luar biasa daripada masyarakat yang menyumbang adalah di luar jangkaan.
“Allah mengajar kita menerusi kejadian ini… Allah mengajar kita yang benar-benar boleh menyatukan umat Islam bukannya politik atau kerajaan tetapi kerana kita umat Islam akan bersatu apabila kita faham kita adalah umat yang satu dengan akidah yang satu beribadah hanya kepada Allah yang Satu dan mempunyai matlamat yang satu.
“Allah mengajar kita semua. Umat Islam boleh bersatu kalau mahu. Nak seribu daya tak nak seribu dalih,” katanya menerusi kenyataan kepada media tempatan.
Pengasas Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa (MRM) itu berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan kelompok Muslim yang bersatu dalam menyalurkan sumbangan buat Masjid Jamek Ar-Ridzuan tanpa meminta sebarang bentuk pampasan daripada kerajaan dan sebagainya.
Dalam masa sama, Firdaus turut bersetuju bahawa data tanah wakaf perlu diselaraskan dalam satu sistem berpusat untuk mengelakkan sebarang bentuk pertikaian atau kes sama berulang.
Katanya, pihak majlis atau jabatan agama perlu cakna dengan mengambil tahu secara konsisten sama ada terdapat tanah wakaf yang telah diceroboh pihak lain, selain harus mengambil tindakan proaktif dalam hal sedemikian.
Isu tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan sebelum ini mencuri perhatian selepas tanah yang menempatkan rumah ibadat itu dimiliki individu bukan beragama Islam apabila tanah itu dijual cucu pewakaf.
Sehubungan itu, ia perlu ditebus segera bagi mengelak sebarang risiko pada masa akan datang dan pemilik bersetuju untuk menjual semula tanah terbabit.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudian memaklumkan kerajaan negeri akan menggunakan wang kutipan derma solat Jumaat dari seluruh negeri bagi membeli semula tanah itu. — The Merdeka Times
