Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Didakwa balas dendam, lelaki Muslim ditetak berulang kali dengan kapak depan anak

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Tangkap layar klip video serangan tersebut

UTTAR PRADESH – Dalam satu insiden yang mengejutkan, seorang lelaki Muslim telah diserang berulang kali dengan kapak di hadapan anak kecilnya di kampung Jhinjhana, daerah Shamli, Uttar Pradesh, India.

Serangan yang dirakam melalui kamera CCTV itu menunjukkan ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Sarfaraz, sedang duduk bersama anaknya apabila lelaki dikenali sebagai Govind datang dan menyerang Sarfaraz berkali-kali dengan kapak pada muka, leher, dan bahunya.

Penduduk kampung mendakwa penyerang itu berulang kali menyebut, “26 dibalas 26 aku akan bunuh,” merujuk kepada serangan pengganas di Pahalgam, Jammu dan Kashmir awal minggu ini yang meragut 26 nyawa tidak berdosa.

Keluarga Sarfaraz mendakwa mendengar Govind menjerit, “Selamatkan diri kau selagi mampu, atau saya akan bunuh macam ini,” lapor The Siasat Daily.

Sarfaraz dikatakan cuba melarikan diri, namun Govind terus melakukan serangan tanpa henti, disaksikan dengan ngeri oleh anaknya.

Selepas melakukan serangan itu, Govind dikatakan berkeliaran dengan membawa kapak.

Sarfaraz mengalami kecederaan parah pada muka dan leher. Beliau kini sedang menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Keluarga mangsa telah memohon perlindungan polis kerana bimbang akan berlaku serangan susulan.

Namun, pihak polis menolak dakwaan ia adalah serangan balas dendam dan berkata usaha sedang dijalankan untuk menahan Govind.

Serangan terhadap umat Islam meningkat selepas insiden serangan di Pahalgam.

Ucapan kebencian, serangan ke atas kedai-kedai, keengganan merawat pesakit Muslim, seruan untuk melakukan keganasan seksual terhadap wanita, terutamanya pelajar perempuan Kashmir, oleh penyokong dan organisasi berhaluan kanan turut dilaporkan di beberapa bahagian negara itu. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *