Terkini
Tiada DNA asing ditemukan dalam dubur Zayn Rayyan – Pegawai Penyiasat

- ASP Mohd Hafizee Ismail, 38, yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata hasil analisis terhadap spesimen calitan daripada dubur si mati mendapati hanya DNA milik Zayn Rayyan dijumpai.
- “Pada 7.15 malam (9 Dis 2023), saya telah pergi ke Jabatan Kimia untuk mengambil sampel DNA yang dihantar pada 8 Dis 2023 … sampel H3 iaitu spesimen tulang sternum milik si mati adalah berpadanan dengan DNA si mati manakala sampel H4 iaitu spesimen calitan daripada dubur si mati, hasilnya adalah tiada DNA asing dijumpai, hanya DNA milik si mati sahaja,” katanya.
- Pada prosiding sebelum ini, Dr Rohayu yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Zayn Rayyan memaklumkan punca kematian kanak-kanak malang itu adalah disebabkan jerutan di leher dan bukan lemas di dalam air.
PETALING JAYA — Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa tiada asid deoksiribonukleik (DNA) asing yang ditemukan dalam dubur Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.
ASP Mohd Hafizee Ismail, 38, yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata hasil analisis terhadap spesimen calitan daripada dubur si mati mendapati hanya DNA milik Zayn Rayyan dijumpai.
“Pada 7.15 malam (9 Dis 2023), saya telah pergi ke Jabatan Kimia untuk mengambil sampel DNA yang dihantar pada 8 Dis 2023 … sampel H3 iaitu spesimen tulang sternum milik si mati adalah berpadanan dengan DNA si mati manakala sampel H4 iaitu spesimen calitan daripada dubur si mati, hasilnya adalah tiada DNA asing dijumpai, hanya DNA milik si mati sahaja,” katanya.
Mohd Hafizee, yang kini bertugas sebagai Pegawai Risikan Operasi di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan, berkata pada 8.55 malam 12 Dis 2023, beliau menerima laporan awal daripada seorang ahli kimia yang mengesahkan hasil laporan awal ke atas objek asing yang terdapat dalam bronkus (saluran pernafasan ke paru-paru) si mati yang telah dihantar untuk analisis adalah sejenis tumbuhan daun jenis pulai.
“Berdasarkan maklumat ini, saya telah jalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat pokok pulai anggaran10 meter dari tempat si mati ditemukan,” kata saksi pendakwaan ke-28 itu semasa membacakan pernyataannya pada hari ke-17 perbicaraan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Saksi itu berkata pada 7 Dis 2023, beliau pergi ke Hospital Sungai Buloh apabila dimaklumkan terdapat kesan kecederaan berunsurkan jenayah pada mayat Zyan Rayyan dan setibanya di bilik bedah siasat, beliau dapati keadaan si mati telah dibuka separuh badan dan beliau kemudian bertanya kepada pakar perubatan perunding forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan tentang kecederaan yang dikatakan mempunyai unsur jenayah.
“Dr Rohayu telah tunjukkan kepada saya keadaan telinga kiri si mati dalam keadaan seperti terkulai, lengan kanan si mati terdapat kesan toreh dan dubur si mati seperti terdapat kesan tusukan objek. Sepanjang proses bedah siasat, saya bersama ASP Mohd Nasir Mustapha dan jurufoto yang ditugaskan untuk mengambil gambar bedah siasat.
“Terdapat beberapa kecederaan lain yang dialami oleh si mati antaranya kesan lebam di bahagian dahi, belakang badan, lengan, dada, pipi, mata, bibir serta rahang, kesan kecederaan luka di bahagian telinga kiri, kesan lebam dan jerutan di bahagian leher dan kesan luka seperti terhiris di bahagian lengan kanan,” katanya.
Beliau berkata terdapat juga beberapa kesan kecederaan koyakan baharu di bahagian dubur dipercayai menggunakan objek tumpul serta cebisan objek asing di dalam bronkus dan perut.
Pada prosiding sebelum ini, Dr Rohayu yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Zayn Rayyan memaklumkan punca kematian kanak-kanak malang itu adalah disebabkan jerutan di leher dan bukan lemas di dalam air.
Berikutan laporan bedah siasat itu, Mohd Hafizee berkata pada 10.30 malam (7 Dis 2023) beliau bersama pasukan Forensik D10 IPK dan Unit K9 PDRM telah ke lokasi kejadian di kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai.
“Saya bersama pasukan siasatan sampai di lokasi pada jam lebih kurang 11 malam. Sebaik tiba di Apartment Idaman, saya bersama pasukan telah pergi ke rumah si mati di Blok R dan telah jalankan siasatan di dalam rumah tersebut.
“Semasa masuk ke dalam rumah, saya terlihat sepasang kasut warna hitam dan terdapat kesan lumpur di sebelah peti ais di dalam bilik pertama di hadapan dapur. Saya kemudian arahkan pihak forensik untuk membuat tandaan dan arahkan jurufoto untuk mengambil gambar kasut tersebut untuk siasatan saya,” katanya yang turut mengarahkan pasukan forensik mengambil sampel tanah berhampiran lokasi si mati dijumpai untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.
Ismanira dan Zaim Ikhwan, yang berumur 30 tahun, didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu. — BERNAMA
