Terkini
‘Apa guna trending jika orang tak undi saya’ – KJ
Undi penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh paling penting, demikian kata Calon BN P107, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media di Dataran Pasar Tani, Kampung Melayu Subang, petang semalam.

- KJ berkata undi daripada masyarakat tempatan di P107 paling penting berbanding populariti pada dirinya.
- Jika rakyat Sungai Buloh tidak mengundinya, semua itu tidak akan memberikan apa-apa makna.
- “Sebab itu kita kena betul-betul berada di kawasan, berjumpa orang ramai, cakap dengan mereka, yakinkan mereka dan ada strategi media sosial yang bagus,” kata menteri kesihatan itu.
- KJ berjanji akan memanfaatkan populariti yang ada pada dirinya untuk digunakan bagi kepentingan masyarakat setempat seperti membawa isu-isu supaya didengari di peringkat lebih tinggi.
KUALA LUMPUR – Undi penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh paling penting, demikian kata Calon BN P107, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media di Dataran Pasar Tani, Kampung Melayu Subang, petang semalam.
“Yang pertamanya kita kena faham, trending ke tak trending, akhirnya itu tidak berapa penting yang paling penting ialah undi.
“Kita boleh trending, mendahului dari segi ramalan dan polling, kita boleh popular dari segi selfie gambar dan sebagainya.
“Tetapi akhirnya kalau pengundi tidak memangkah untuk saya di Sungai Buloh, tiada makna juga, sebab itu kita kena betul-betul berada di kawasan, berjumpa orang ramai, cakap dengan mereka, yakinkan mereka dan ada strategi media sosial yang bagus,” katanya.
Menurutnya, medium tersebut digunakan bagi mengetengahkan isu di Sungai Buloh dan juga di peringkat nasional.
“Saya janji saya jadi ahli parlimen yang bukan hanya dapat selesaikan masalah tempatan tetapi juga dengan sedikit sebanyak pengaruh yang ada pada saya.
“Saya boleh bawa isu yang ada di Sungai Buloh ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Kalau dapat ahli parlimen yang ada pengalaman sebagai menteri.
“Sekiranya ada isu di Sungai Buloh dan saya perjuangkan isu itu, mungkin akan didengari berbanding dengan calon yang tiada platform ataupun pengalaman yang sama seperti saya,” tuturnya lanjut.
Populariti yang ada pada dirinya sebagai menteri kesihatan, ujarnya, akan digunakan untuk kepentingan masyarakat tempatan bukan untuk kepentingan diri.
“Jika saya jadi ahli parlimen di sini, kononnya popular dan saya guna populariti itu untuk orang Sungai Buloh,” katanya.
