Terkini
Calon PN di Sungai Buloh akui dirinya “orang kecil” berbanding KJ
Calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Sungai Buloh, Mohd Ghazali Md Hamin mengakui lawannya, terutama Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau “KJ” dari Barisan Nasional (BN) adalah calon yang disegani.

- Calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Sungai Buloh, Mohd Ghazali Md Hamin mengakui lawannya, terutama Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau “KJ” dari Barisan Nasional (BN) adalah calon yang disegani.
- Bagaimanapun, Mohd Ghazali berkata beliau sudah bersiap sedia dengan jentera untuk berentap dengan Menteri Kesihatan itu termasuk calon-calon lain.
- Dari sudut lokaliti, Mohd Ghazali menyifatkan KJ sebagai ‘underdog’ berbanding dirinya ‘dekat di hati’ rakyat dan lebih memahami permasalahan masyarakat di Sungai Buloh.
- Selain KJ, beliau akan bertanding dengan Datuk R. Ramanan (PH-PKR), Mohd Akmal Mohd Yusoff (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff serta Nurhaslinda Basri.
SUNGAI BULOH – Calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Sungai Buloh, Mohd Ghazali Md Hamin mengakui lawannya, terutama Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau “KJ” dari Barisan Nasional (BN) adalah calon yang disegani.
Bagaimanapun, Mohd Ghazali berkata beliau sudah bersiap sedia dengan jentera untuk berentap dengan Menteri Kesihatan itu termasuk calon-calon lain.
“Saya akui, pesaing saya adalah orang besar, menteri, saya ini orang kecil sahaja, pertama kali pun bertanding.
“Tetapi insya-ALLAH kami akan berusaha sehabis mungkin untuk memenangkan PN di P107 Sungai Buloh.
“Saya adalah orang tempatan dan tinggal di Kota Damansara. Undilah Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times di Kampung Melayu Batu 13, Sungai Buloh semalam.
Selain Mohd Ghazali, enam calon lain bertanding di Parlimen Sungai Buloh ialah Khairy Jamaluddin (BN-UMNO), Datuk R. Ramanan (PH-PKR), Mohd Akmal Mohd Yusoff (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff serta Nurhaslinda Basri.
“Manifesto dalam satu ke dua hari ini akan keluar daripada pusat. Kami bergerak (hari ini) hanya untuk rakyat tempatan sahaja dulu,” kata Mohd Ghazali.
Dari sudut lokaliti, Mohd Ghazali menyifatkan KJ sebagai ‘underdog’ berbanding dirinya ‘dekat di hati’ rakyat dan lebih memahami permasalahan masyarakat di Sungai Buloh.
Mohd Ghazali adalah Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan Sungai Buloh.
Beliau juga turut aktif dalam aktiviti sosial selaku ahli jawatankuasa Masjid Kota Damansara, Pengerusi NGO Pertubuhan Dapur Rakyat Subang, Pengerusi Khairat Kematian As-Sahabah dan Pengerusi Persatuan Penduduk Berangakai KD78. – The Merdeka Times
