Terkini
Sin Chew Daily mohon maaf papar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit

- Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan memapar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit (anak bulan) yang diterbit di muka hadapan akhbar tersebut semalam.
- Sin Chew dalam satu kenyataan berkata ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
- Kesilapan Sin Chew Daily itu mengundang kritikan netizen, termasuk Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang mempersoal kesetiaan pihak editor akhbar itu kepada negara.
- “Kepada para editor Sin Chew Daily: Di manakah kesetiaan anda kepada negara? Usahlah berdalih dengan permohonan maaf. Anda telah mencemarkan kedaulatan negara!,” kata Ahmad Murad menerusi hantaran di Facebook semalam yang sebelum ini turut mendesak surat khabar itu diharamkan.
KUALA LUMPUR — Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan memapar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit (anak bulan) yang diterbit di muka hadapan akhbar tersebut semalam.
Sin Chew dalam satu kenyataan berkata ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
“Kami merasa amat kesal dan kecewa dengan kekhilafan tersebut. Bagi pihak kesemua kakitangan Sin Chew Daily, kami menyusun sepuluh jari memohon jutaan maaf kepada semua rakyat Malaysia.
“Pindaan segera telah dilakukan kepada ilustrasi versi digital. Ilustrasi yang telah dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula esok (hari ini) dalam versi cetak akhbar kami.
“Kami sekali lagi memohon maaf atas kesilapan tersebut, ” katanya menerusi satu kenyataan yang diterbitkan di laman web MYsinchew pada Selasa.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Ahmad Murad Merican
Kesilapan Sin Chew Daily itu mengundang kritikan netizen, termasuk Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang mempersoal kesetiaan pihak editor akhbar itu kepada negara.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Ahmad Murad Merican.
Ahmad Murad dalam beberapa hantaran sejak semalam dilihat berterusan mengkritik akhbar itu meskipun permohonan maaf dilakukan dan menyifat tindakan itu sebagai mencemar kedaulatan negara.
“TO SIN CHEW DAILY EDITORS – WHERE IS YOUR LOYALTY TO THE NATION? YOU HAVE UNDERMINED NATIONAL SOVEREIGNTY! (Kepada para editor Sin Chew Daily: Di manakah kesetiaan anda kepada negara? Usahlah berdalih dengan permohonan maaf. Anda telah mencemarkan kedaulatan negara!,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam yang sebelum ini turut mendesak surat khabar itu diharamkan.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Ahmad Murad Merican.
Tinjauan The Merdeka Times di hantaran Facebook Ahmad Murad mendapati rata-rata netizen menyifatkan akhbar berbahasa Cina itu sebagai pengkhianat kepada negara dan menuntut agar ia diharamkan serta mengingatkan Kerajaan Madani supaya tidak ‘pejam mata’ dalam isu berkenaan.

Foto: Tangkap layar antara komen netizen di hantaran Facebook Ahmad Murad.
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan Madani mengharamkan Sin Chew Daily!!!” komen Rohyzam Merican yang mendapat 11 tanda suka daripada netizen lain.
“Sin chew daily ini adalah pengkhianat dan musuh negara. Apa kita buat kepada Pengkhianat dan musuh negara?” komen Datuk Zahari Noor.

Foto: Tangkap layar antara komen netizen di hantaran Facebook Ahmad Murad.
“Pengkhianat,” ringkas komen Rosniza Rasul.
“Mereka ni dah jadi kaduk naik ke junjung, semakin kurang ajar akhir-akhir ini. Kesetiaan mereka sentiasa berbelah bagi,” kata Ku Rahman Ku Ismail.
Setiap lambang dan warna yang terdapat pada Bendera Malaysia mewakili maksud-maksud tertentu. Bahagian berwarna biru tua di sebelah kiri melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bersatu padu dan berusaha dalam memajukan pembangunan ekonomi berasaskan sains serta teknologi moden.
Warna kuning pada lambang anak bulan dan bintang pecah 14 bermaksud kedaulatan Raja Berpelembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.
Lambang anak bulan membawa maksud Islam sebagai agama rasmi negara, sementara bintang pecah 14 menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan.
Merah melambangkan keberanian dan bersedia dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Warna putih pula melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan bagi mempertingkatkan ketahanan rakyat yang beradab dan berkeperibadian Malaysia.— The Merdeka Times
