Connect with us

Terkini

Nazri gesa Ketua Hakim Negara dikena tindakan keluar kenyataan hapus peranan PM lantik hakim

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (kiri) & Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (kanan)
  • Ketua Hakim Negara,Tengku Maimun pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini dilapor telah berucap supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) dipinda untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim.
  • “Disebabkan itulah, saya meminta Kabinet negara mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Maimun kerana apa yang dinyatakan beliau sememangnya tidak benar dan menuduh kerajaan mencampuri urusan perundangan negara.” – Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen).
  • Mohamed Nazri berpandangan ucapan Tengku Maimun juga satu bentuk campur tangan dalam prinsip pengasingan kuasa, iaitu cabang Kehakiman mencampuri urusan Legislatif dan Eksekutif kerajaan Malaysia.

KUALA LUMPUR —- Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas ke atas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat susulan kenyataan tidak profesional dibuat beliau baru-baru ini, termasuk berkenaan menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Tengku Maimun mengeluarkan beberapa kenyataan yang bukan sahaja memalukan rakyat Malaysia di mata dunia, malah memberi imej buruk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamed Nazri  yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat itu berkata, sebagai seorang Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan seolah-olah memperlihat seorang Perdana Menteri mencampuri urusan kehakiman negara.

Katanya, Tengku Maimun mungkin telah melaksanakan tugas yang baik sebagai seorang Ketua Hakim Negara, namun akhirnya mengeluarkan kenyataan disifatkan mencemari pentadbiran cemerlang yang ditunjukkan Kerajaan MADANI.

“Dari segi profesionalisme, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan beliau, tetapi apabila beliau mengeluarkan kenyataan meminta tiada campur tangan Perdana Menteri dalam lantikan hakim tertinggi negara. Ini tidak sepatutnya berlaku.

“Saya melihat kenyataan dikeluarkan beliau sangat tidak profesional sebagai seorang Ketua Hakim Negara dan juga penjawat awam, lebih-lebih kenyataan itu dilakukan di luar negara dan mendapat perhatian oleh masyarakat dunia.

“Ini menunjukkan seolah-olah kita ini sebagai sebuah negara ‘koboi’ yang tidak menjalankan tugas mengikut undang-undang,” katanya dipetik Berita Harian pada Ahad.

Tengku Maimun pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini dilapor telah berucap supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) dipinda untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim.

Menurut Tengku Maimun, langkah itu boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.

Perkara 122B memperuntukkan bahawa pelantikan hakim hendaklah dibuat Yang di-Pertuan Agong, bertindak atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata Jemaah Menteri Kerajaan MADANI perlu mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Maimun, termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat kenyataan beliau yang jelas cuba menjatuhkan imej Malaysia.

“Apabila beliau menyebut syor kajian yang menyebut kuasa Perdana Menteri diasingkan dalam pelantikan itu, adakah itu dapatan sebenar yang diperoleh? Bagaimana satu kajian yang belum selesaikan didedahkan untuk pengetahuan masyarakat dunia, seolah-olah Perdana Menteri memang bertindak sedemikian.

“Saya tidak menolak syor daripada kajian itu sama ada daripada Majlis Peguam atau mana-mana pihak, tetapi sekiranya kajian itu belum tamat, ia tidak patut dibincangkan apatah lagi daripada seorang Ketua Hakim Negara. Seorang berprofil tinggi dalam negara seperti beliau seharusnya bercakap berdasarkan fakta semata-mata.

“Disebabkan itulah, saya meminta Kabinet negara mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Maimun kerana apa yang dinyatakan beliau sememangnya tidak benar dan menuduh kerajaan mencampuri urusan perundangan negara,” katanya.

Mohamed Nazri berpandangan ucapan Tengku Maimun juga satu bentuk campur tangan dalam prinsip pengasingan kuasa, iaitu cabang Kehakiman mencampuri urusan Legislatif dan Eksekutif kerajaan Malaysia.

“Apabila seruan seperti itu dibuat, pertimbangan untuk pindaan Perlembagaan perlu dilaksanakan dan seorang hakim mahupun Ketua Hakim Negara tidak boleh campur tangan apabila pindaan itu dilaksanakan. Sebaliknya, itu tugas ahli Parlimen yang bertanggungjawab untuk memperoleh keputusan dua pertiga (mendapat sokongan).

“Ketua Hakim ini dilihat cuba menceroboh hak legislatif dan eksekutif negara dan ia menjadi satu kesalahan besar dan memalukan negara apabila bercakap seperti sedemikian,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil dilapor berkata kerajaan bersikap terbuka untuk meneliti sebarang cadangan bagi menambah baik undang-undang sedia ada, termasuk yang melibatkan proses pelantikan Ketua Hakim Negara.

Fahmi berkata sejak Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran, lebih 80 undang-undang telah dibentangkan di Parlimen sama ada untuk pindaan atau penggubalan baharu, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh institusi dan sistem demokrasi negara. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *