Terkini
Perdana Menteri Britain keturunan India boleh jadi PM – Lim Guan Eng
Kita tidak sepatutnya terjerat dengan isu kaum dan agama sekiranya ingin negara maju ke hadapan sebagaimana Great Britain menjadikan pemimpin dari kaum minoriti berketurunan India dan Hindu sebagai Perdana Menteri kata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

- Beliau dakwa apabila seorang pemimpin bukan beragama Islam jadi menteri pasti wujud bantahan sedangkan kita sepatutnya hormati kesemua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
- Kenyataan tersebut bukanlah menunjukkan beliau tidak sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri.
- “Yang mereka hanya nak wakili sesuatu kaum ataupun menindas kaum-kaum lain itu bukanlah kerajaan Malaysia rakyat mahu. Kita mesti bela kesemua nasib rakyat,” – Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR – Kita tidak sepatutnya terjerat dengan isu kaum dan agama sekiranya ingin negara maju ke hadapan sebagaimana Great Britain menjadikan pemimpin dari kaum minoriti berketurunan India dan Hindu sebagai Perdana Menteri kata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Ini berikutan beliau mendakwa apabila seorang pemimpin bukan beragama Islam menjadi menteri pasti akan wujud bantahan sedangkan kita sepatutnya menghormati kesemua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, kita wajar melihat dari sudut kewarganegaraan masing-masing, kemampuan kewibawaan dan rekod masing-masing.
Bagaimanapun katanya, kenyataan tersebut bukanlah menunjukkan bahawa beliau tidak menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kita sekarang masih keluarkan tohmahan berdasarkan agama dan bangsa. Ya… kita (PH) sokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri… jangan ada tanggapan lain tetapi apabila seorang bukan Islam jadi menteri, dilemparkan bantahan berdasarkan keturunan, bangsa, dan latar belakang kita.
“Semata-mata itu sahaja. Macam mana boleh cakap bahawa kita hormati semua rakyat Malaysia, tak kira kaum dan agama? So itu bukanlah sifat ‘kemalaysian’.
“Yang mereka hanya nak wakili sesuatu kaum ataupun menindas kaum-kaum lain itu bukanlah kerajaan Malaysia yang rakyat mahu. Kita mesti membela kesemua nasib rakyat,” katanya menerusi satu video berdurasi dua minit satu saat.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan agar masyarakat tidak melabel sesuatu kaum dengan perkataan ‘ekstrem’ kerana dalam kalangan semua rakyat Malaysia sudah semestinya akan wujud golongan yang baik dan buruk tanpa mengira sebarang latar belakang.
Sumber Video: Astro Awani
