Connect with us

Terkini

Tiga TPM, sepatutnya sudah lama dilakukan – penganalisis politik

Cadangan mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diharap bukan sekadar janji atau ‘sembang kosong’ semata, tetapi ia harus dilaksanakan sebagai suatu komitmen politik. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Puti Iylia Maisarah

Published

on

Tiga TPM, sepatutnya sudah lama dilakukan - penganalisis politik
  • Cadangan mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diharap bukan sekadar janji atau ‘sembang kosong’ semata.
  • Perkara itu harus dilaksanakan sebagai suatu komitmen politik. 
  • Pelantikan itu sesuai dengan semangat asal pembentukan Malaysia yang menunjukkan ada inclusivity (keterangkuman) selaras dengan gagasan keluarga Malaysia.

KUALA LUMPUR –  Cadangan mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diharap bukan sekadar janji atau ‘sembang kosong’ semata, tetapi ia harus dilaksanakan sebagai suatu komitmen politik. 

Demikian menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) dan penganalisis politik Datuk Dr Jeniri Amir  berhubung tawaran TPM mewakili Sabah dan Sarawak yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN)  dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin.

“Sepatutnya perkara itu sudah lama dilakukan bukan sekarang, orang Sabah dan Sarawak sudah buat tuntutan itu sekian lama. 

“Ia harus dilaksanakan, tanpa perlu masukkan ke dalam manifesto dan harus menjadi komitmen politik, ia kerana susulan pindaan perlembagaan tempoh hari dan wajar ketiga-tiga TPM ini diwujudkan bagi menunjukkan tiga-tiga wilayah ini sama taraf,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times. 

Beliau berkata, pelantikan itu sesuai dengan semangat asal pembentukan Malaysia yang menunjukkan ada inclusivity (keterangkuman) selaras dengan gagasan keluarga Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri. 

Bertitik tolak daripada itu, Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpendapat bahawa perkara itu boleh dipertimbangkan Ia susulan terdapat ‘pro dan kontra’ sekiranya pelantikan itu dilaksanakan. 

“Sekiranya pelantikan TPM itu dibuat, ia perlu kerana melihat senario rakyat Sabah dan Sarawak yang memerlukan perhatian dalam menaik taraf kehidupan dan pembangunan rakyat disana. Namun, tidak perlu wujudkan beberapa jawatan Menteri Kanan pada masa yang sama.

“Ia kerana dengan adanya banyak Menteri Kanan perkara itu akan menjadi beban kepada kerajaan,” katanya ketika mengulas berkenaan kos tambahan sekiranya pelantikan itu diwujudkan.

Beliau berkata, kos itu tidak menelan banyak perbelanjaan sekiranya pelantikan menteri-menteri kanan digugurkan, ia kerana jawatan Menteri Kanan adalah lebih kurang sama seperti jawatan TPM.

Dalam pada itu, menurut Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, pelantikan TPM yang ditawarkan parti politik adalah suatu kesedaran yang rasional bahawa pentingnya kerusi Sabah dan Sarawak dalam mengukuhkan kedudukan dan kestabilan sebagai kerajaan diperingkat persekutuan. 

“Sebenarnya tiada masalah pun sekiranya wujud berapa banyak pelantikan TPM,  yang penting cara kita menguruskan jawatan tersebut dengan mengurangkan keistimewaan serta tidak menggunakan kuasa yang melampau-lampau.

“Sebagai contoh untuk membiayai ‘escort’ atau kos-kos penginapan atau berkaitan dengan suatu kelebihan sebagai seorang TPM.

“Jawatan tersebut mestilah berfungsi dengan sebaiknya dan perlu didedahkan kepada rakyat dari segi kos, apa tugasnya yang diperincikan oleh Perdana Menteri dan mampu membantu Perdana Menteri mentadbir kerajaan dengan penuh berhemah dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada The Merdeka Times. 

Bagaimanapun, menurut pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, cadangan mewujudkan TPM itu bukan sahaja dianggap sukar dipercayai bahkan tidak masuk akal.

“Pakatan Harapan juga umumkan dua TPM. Bayangkan apa kata ultra kiasu Cina yang selama ini memang mahukan kerusi TPM.

“Jangan sampai orang ketawakan, negara sekecil Malaysia, jawatan yang ditawarkan lebih banyak daripada wakil rakyat.

“Negara China dan India berpuluh kali ganda lebih besar pun tidak pelik sebegini,” kata pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, lapor Isma Web.

Menurutnya perkara penting buat masa ini adalah rancangan strategi untuk menang, meskipun tidak ada lagi permuafakatan dalam kalangan parti politik Melayu bukan PH. 

“Berjanji bulan bintang tidak menguntungkan sesiapa, melainkan makan diri,” tegasnya

Sebelum ini dilaporkan BN berhasrat mewujudkan tiga jawatan TPM dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sekiranya memenangi dominan dan membentuk kerajaan. 

Pada masa sama, PH juga dilaporkan mengumumkan cadangan mewujudkan dua jawatan TPM, iaitu membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *