Terkini
Pembunuhan Muslim Uyghur: Senator AS mahu aset Presiden China dan Parti Komunis dibekukan
Senator Amerika Syarikat (AS), Josh Hawley sedang memperkenalkan undang-undang yang mengesahkan Presiden China, Xi Jinping dan rakan sekutunya “secara peribadi bersubahat” dalam pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam Uyghur, demikian lapor Fox News.

- Senator AS, Josh Hawley memperkenalkan undang-undang untuk mengenakan sekatan ke atas Presiden China, Xi Jinping yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai umat Islam Uyghur.
- Hawley mengarahkan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken untuk menyediakan laporan konsisten mengenai Xi dan pemimpin kanan Parti Komunis China (PKC) yang mengarahkan jenayah kemanusiaan itu.
- Sekatan itu membekukan aset Xi dan pegawai tertingginya yang dikuasai AS dan menghalang mereka daripada memasuki AS.
Senator Amerika Syarikat (AS), Josh Hawley sedang memperkenalkan undang-undang yang mengesahkan Presiden China, Xi Jinping dan rakan sekutunya “secara peribadi bersubahat” dalam pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam Uyghur, demikian lapor Fox News.
Rang undang-undang dikemukakan Hawley akan mengenakan sekatan terhadap Xi dan pemimpin kanan Parti Komunis China (PKC) serta mengarahkan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Pengarah Kebangsaan Perisikan, Avril Haines untuk menyediakan laporan konsisten mengenai pegawai PKC yang mengarahkan jenayah kemanusiaan ke atas etnik Uyghur.
Sekatan itu membabitkan pembekuan aset Xi dan pegawai tertingginya yang dikuasai AS dan menghalang mereka memasuki negara kuasa besar itu.
“Sementara Joe Biden sibuk dengan hal lain, Xi Jinping menyatukan kuasanya dengan pantas dalam Parti Komunis China, kuasa yang ingin digunakan untuk memaksa dunia menutup mata terhadap jenayah rejimnya,” kata Hawley kepada Fox News Digital.
“Tetapi kita tidak boleh menoleh dan membiarkan perkara itu. Kita mesti meminta Xi dan orang kanannya yang bertanggungjawab ke atas jenayah kemanusiaan mereka dan kita boleh mulakan dengan mengenakan sekatan akibat kekejaman dilakukan mereka di Xinjiang,” katanya.
Senator itu berkata rang undang-undang itu diperkenalkan ketika Kongres Parti Kebangsaan PKC ke-20 yang dijangka diakhiri minggu ini dengan memilih Xi untuk penggal ketiga.
Rang undang-undang itu menyatakan, “Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China dibuka pada 16 Oktober 2022, dengan membawa penyatuan kuasa selanjutnya oleh Setiausaha Agung Xi Jinping, yang kelihatan bertekad untuk mengetatkan kawalan ke atas individu yang dianggap sebagai musuh Parti Komunis Cina, termasuk Uyghur dan etnik minoriti lain di Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang”.
Rang undang-undang itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan laporan pada Ogos lalu yang mendakwa Kerajaan China melakukan “pelanggaran hak asasi manusia yang serius” dalam penahanannya terhadap Uyghur dan kumpulan etnik lain yang majoritinya Islam di wilayah barat Xinjiang.
Sumber: Fox News

You must be logged in to post a comment Login