Terkini
Saman kerajaan, Charles Santiago menghina Agong – Rahman Dahlan
Tindakan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago memfailkan saman pemula kepada Perdana Menteri, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan sebagai tindakan yang terdesak dan menghina.

- “Tindakan Charles sebenarnya turut hina Tuanku sebab ianya pertikaikan kebijaksanaan Tuanku beri perkenan setelah menilai keadaan semasa politik serta dapat taklimat MetMalaysia yang meramal negara hanya akan hadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 bermula pertengahan November ini dan berakhir Mac 2023.”
- Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan jelas beri kuasa kepada YDPA bertindak menurut budi bicara baginda dengan perkenankan permintaan Perdana Menteri supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan.
- “Ianya prerogatif Perdana Menteri dan tidak perlukan kelulusan kesemua menteri-menteri kabinet, “ – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago memfailkan saman pemula kepada Perdana Menteri, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan sebagai tindakan yang terdesak dan menghina.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata sekalipun pemimpin DAP itu tidak berani untuk turut menamakan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) juga sebagai salah seorang responden saman beliau, tindakan tersebut sebenarnya turut menghina Tuanku.
“Tindakan Charles ini sebenarnya turut menghina Tuanku sebab ianya mempertikaikan kebijaksanaan Tuanku untuk memberi perkenan setelah menilai keadaan semasa politik serta mendapat taklimat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramal negara hanya akan menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 bermula pertengahan November ini dan berakhir pada Mac 2023,” katanya pada Rabu menerusi hantaran di Facebook.
Tambah beliau, Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan jelas memberi kuasa kepada YDPA bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan Perdana Menteri supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan.
Jelasnya, “Ianya adalah prerogatif Perdana Menteri dan tidak memerlukan kelulusan kesemua menteri-menteri kabinet.”
Justeru, katanya tindakan Charles memulakan saman bagi menghalang langkah memulangkan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang stabil dengan majoriti kuat seperti dititah YDPA merupakan satu tindakan amat terdesak dan menghina.
Datuk Abdul Rahman berkata Charles sebelum ini menggunakan alasan pembubaran Parlimen yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong tidak dibuat atas nasihat Jemaah Menteri dan oleh itu ia terbatal serta tidak sah.
Pada Selasa, Charles Santiago bertindak memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berikutan pembubaran parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).
Sumber : Facebook Dato’ Abdul Rahman Dahlan
