Connect with us

Terkini

Petisyen sejuta rakyat Malaysia desak King Sing letak jawatan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Tangkap layar petisyen 'Sejuta Rakyat Malaysia Desak Tiong King Sing Letak Jawatan'.
  • Petisyen ‘Sejuta Rakyat Malaysia Desak Tiong King Sing Letak Jawatan’ bermula 28 Nov lalu digerakkan Gerakan Pengundi Sedar (GPS) itu sebagai tanda ketidakpuasan hati rakyat terhadap keputusan dan tindakan Datuk Seri Tiong King Sing selaku menteri dalam Kerajaan Madani.
  • Semakan The Merdeka Times di laman web petisyen, Change.org mendapati petisyen itu mendapat 31,210 tandatangan setakat 11.30 pagi tadi.
  • Selain daripada kontroversi isu penguatkuasaan peraturan papan dwibahasa, GPS turut menyenaraikan sebab lain mengapa King Sing perlu melepaskan jawatannya serta-merta, antaranya menteri Kerajaan Madani itu didakwa mengutamakan pelancong China apabila beliau meminta rakyat Malaysia tidak menunjukkan reaksi berlebihan apabila Malaysia membenarkan pelancong dari China datang ke negara kita ketika kes Covid-19 meningkat semula sedangkan negara lain menyekat pelancong China dari masuk ke negara mereka.

KUALA LUMPUR — Satu petisyen mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletak jawatan dengan segera ekoran kegagalannya sebagai menteri berkenaan, dilancarkan.

Petisyen ‘Sejuta Rakyat Malaysia Desak Tiong King Sing Letak Jawatan‘ bermula 28 Nov lalu digerakkan Gerakan Pengundi Sedar (GPS) itu sebagai tanda ketidakpuasan hati rakyat terhadap keputusan dan tindakan King Sing selaku menteri dalam Kerajaan Madani.

Semakan The Merdeka Times di laman web petisyen, Change.org mendapati petisyen itu mendapat 31,210 tandatangan setakat 11.30 pagi tadi.

“Mengapa Tiong King Sing wajib letak jawatan? Baru-baru ini, negarawan Tun Dr Mahathir melahirkan kekesalan melihat terlalu banyak papan tanda bertulisan Cina di sekitar bangunan membeli-belah di ibu kota. Isu tersebut mendapat perhatian Tiong King Sing.

“Tiong King Sing berkata isu penguatkuasaan peraturan papan dwibahasa telah mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas yang tidak perlu. Walhasil, pelancong persoalkan keterbukaan Malaysia.

“Kata Tiong lagi, kepelbagaian bahasa mencerminkan kemesraan negara terhadap pelancong.

“Sekali lagi Tiong King Sing GAGAL menjadi menteri yang menjaga kesenian dan kebudayaan tanah air. Tiong nampaknya sukar terima hakikat bahawa bahasa Melayu satu-satunya bahasa kebangsaan. Itu identiti negara kita!,” kata GPS menerusi petisyen itu.

GPS turut menyenaraikan sebab lain mengapa King Sing perlu melepaskan jawatannya serta-merta, antaranya menteri Kerajaan Madani itu didakwa mengutamakan pelancong China apabila beliau meminta rakyat Malaysia tidak menunjukkan reaksi berlebihan apabila Malaysia membenarkan pelancong dari China datang ke negara kita ketika kes Covid-19 meningkat semula sedangkan negara lain menyekat pelancong China dari masuk ke negara mereka.

Selain itu, King Sing juga dikatakan pernah menjadi ‘hero’ menimbulkan kekecohan di KLIA untuk mempertahan pelancong China ditahan pegawai imigresen.

Foto: Tangkap layar antara kandungan petisyen digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS).

“Sebelum lebih banyak lagi kebobrokan dilakukan Tiong King Sing terhadap identiti negara, kami rakyat Malaysia mendesak supaya TIONG KING SING LETAK JAWATAN sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya segera.

“Perkara 43(5) memberikan kuasa kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk membatalkan jawatan Menteri yang disandang Tiong King Sing jika mendapat nasihat Perdana Menteri untuk berbuat demikian.

“Maka, kami juga menggesa YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim menasihati Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, untuk membatalkan jawatan yang disandang Tiong King Sing atau menasihati Tiong King Sing untuk meletakkan jawatannya menurut Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan.

“Jika Tiong terus kekal memegang jawatan tanpa dipecat atau meletakkan jawatan, ia menunjukkan Perdana Menteri GAGAL untuk memastikan semua anggota kabinetnya menghormati sumpah setia yang dilafazkan di hadapan Yang Di-Pertuan Agong. Ini merupakan satu penghinaan kepada Ketua Utama Negara yang seharusnya tidak ada tolak ansur,” katanya. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *