Antarabangsa
Turkiye sekat akses Discord
Turkiye menyekat akses ke platform media sosial Discord disebabkan kebimbangan keselamatan berhubung jenayah terhadap kanak-kanak bawah umur.
- Turkiye menyekat akses ke platform media sosial Discord disebabkan kebimbangan keselamatan berhubung jenayah terhadap kanak-kanak bawah umur.
- Menurut Pihak Berkuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTK) Turkiye, tindakan mengharamkan Discord adalah hasil keputusan mahkamah di Ankara berkaitan dengan “kecurigaan” bahawa platform itu digunakan untuk “penderaan seksual kanak-kanak dan kelucahan”.
- Selain daripada laporan menunjukkan Discord digunakan secara meluas untuk mengganggu gadis bawah umur dan menyasarkan kanak-kanak melalui antunan (grooming), ugutan, penderaan seksual dan buli siber, kemarahan dilaporkan tercetus apabila beberapa pengguna memuji pembunuhan dua wanita muda di Istanbul oleh seorang lelaki berusia 19 tahun awal bulan ini.
- Sejak itu, kebimbangan disuarakan pegawai-pegawai Turkiye mengenai kekurangan akauntabiliti platform itu di mana Ankara dilihat gagal memperoleh kawalan signifikan terhadap platform tersebut dan penggunaannya.
- Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur, Abdulkadir Uraloglu pada Rabu berkata pihak berkuasa Turkiye menghadapi kesukaran memantau Discord dan campur tangan bagi menangani kandungan haram kerana sifat peribadi platform itu.
- “Oleh kerana Discord enggan berkongsi maklumatnya sendiri, termasuk alamat IP dan kandungan, dengan unit keselamatan kami, kami terpaksa menyekat akses,” kata Uraloglu.
Turkiye menyekat akses ke platform media sosial Discord disebabkan kebimbangan keselamatan berhubung jenayah terhadap kanak-kanak bawah umur.
Menurut Pihak Berkuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTK) Turkiye, tindakan mengharamkan Discord adalah hasil keputusan mahkamah di Ankara berkaitan dengan “kecurigaan” bahawa platform itu digunakan untuk “penderaan seksual kanak-kanak dan kelucahan”.
Selain daripada laporan menunjukkan Discord digunakan secara meluas untuk mengganggu gadis bawah umur dan menyasarkan kanak-kanak melalui antunan (grooming), ugutan, penderaan seksual dan buli siber, kemarahan dilaporkan tercetus apabila beberapa pengguna memuji pembunuhan dua wanita muda di Istanbul oleh seorang lelaki berusia 19 tahun awal bulan ini.
Sejak itu, kebimbangan disuarakan pegawai-pegawai Turkiye mengenai kekurangan akauntabiliti platform itu di mana Ankara dilihat gagal memperoleh kawalan signifikan terhadap platform tersebut dan penggunaannya.
“Kami bertekad melindungi belia dan kanak-kanak kita… daripada penerbitan merbahaya dan (berbentuk) jenayah di media sosial dan internet.
“Kami tidak akan membenarkan sebarang usaha untuk menggugat asas struktur sosial kami,” kata Menteri Kehakiman Turkiye, Yılmaz Tunc di platform X dipetik Middle East Monitor.
Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur, Abdulkadir Uraloglu pada Rabu berkata pihak berkuasa Turkiye menghadapi kesukaran memantau Discord dan campur tangan bagi menangani kandungan haram kerana sifat peribadi platform itu.
“Pegawai keselamatan tidak dapat meneliti kandungan. Kami hanya boleh campur tangan apabila pengguna mengadu kepada kami tentang kandungan yang dikongsi di sana.
“Oleh kerana Discord enggan berkongsi maklumatnya sendiri, termasuk alamat IP dan kandungan, dengan unit keselamatan kami, kami terpaksa menyekat akses,” kata Uraloglu. — The Merdeka Times