Terkini
Suspek kes turunkan Jalur Gemilang masih di luar negara
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti seorang suspek berusia 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penularan video memaparkan Jalur Gemilang diturunkan sebelum diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak.
- PDRM mengenal pasti seorang suspek berusia 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penularan video memaparkan Jalur Gemilang diturunkan sebelum diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak.
- Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai Moses Paul Anap di mana semakan mendapati dia melakukan pergerakan keluar negara pada 26 Oktober 2016 dan tiada rekod masuk semula ke negara ini selepas tarikh itu.
- Turut disiasat berhubung kes itu adalah NGO Republic of Sabah North Borneo (RSNB).
- Kelmarin, polis dilaporkan telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penularan video terbabit.
- Perkara itu timbul susulan sekumpulan individu dilaporkan menurunkan bendera Malaysia (Jalur Gemilang) sebelum menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang kononnya sebagai simbolik ‘menurunkan penjajahan’ Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu.
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti seorang suspek berusia 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penularan video memaparkan Jalur Gemilang diturunkan sebelum diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai Moses Paul Anap di mana semakan mendapati dia melakukan pergerakan keluar negara pada 26 Oktober 2016 dan tiada rekod masuk semula ke negara ini selepas tarikh itu.
Razarudin berkata turut disiasat berhubung kes itu adalah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali Republic of Sabah North Borneo (RSNB).
“Semakan melalui elemen sumber terbuka atau ‘Open Source Intelligence (OSINT) mendapati ia didaftarkan di Australia.
“Pengesahan berkaitannya daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) masih dalam tindakan,” katanya dipetik Harian Metro di sini hari ini.
Kelmarin, polis dilaporkan telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penularan video terbabit.
Razarudin berkata siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September lalu, kononnya sebagai simbolik penamatan penjajahan Malaysia ke atas kedua-dua negeri serta menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai republik.
Setakat Isnin, polis menerima 35 laporan dengan 34 daripadanya di Sabah manakala satu di Kuala Lumpur.
Perkara itu timbul susulan sekumpulan individu dilaporkan menurunkan bendera Malaysia (Jalur Gemilang) sebelum menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang kononnya sebagai simbolik ‘menurunkan penjajahan’ Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu.
Tindakan itu dilakukan sekumpulan individu dipercayai warga Malaysia di depan bangunan Parlimen Victoria, Australia dalam video tular berdurasi lapan minit 14 saat yang dimuat naik Facebook DemiRakyat Channel pada Jumaat.
Video itu mendapat reaksi netizen dengan sebilangan besar mereka, termasuk anak Borneo (Sabah dan Sarawak) menegaskan mereka tidak bersetuju dengan tindakan kumpulan tersebut dan menyifatkannya sebagai kumpulan yang memecah belahkan.
Semakan The Merdeka Times mendapati video itu terlebih dahulu dimuat naik seorang pengguna Facebook, Mosses PA Ampang yang juga merupakan Presiden Republik Sabah North Borneo, sebuah NGO berdaftar di Victoria, Australia di laman media sosialnya pada 16 September lalu iaitu pada sambutan Hari Malaysia.
Difahamkan, video itu berasal daripada rakaman Demonstrasi Aman Membantah Penjajahan Malaya ke atas Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak pada 16 September 2024 yang diadakan 15 September lalu di luar bangunan Parlimen Victoria dan ia dianjurkan beberapa NGO, termasuk Mosses. – The Merdeka Times