Connect with us

Terkini

Kerajaan selamatkan 168 rakyat Malaysia mangsa sindiket pekerjaan

Seramai 15 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air semalam.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Kerajaan selamatkan 168 rakyat Malaysia mangsa sindiket pekerjaan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Mereka merupakan mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.
  • “Selain Kemboja, pihak kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Laos, Myanmar dan Thailand terus menggiatkan usaha mengesan, menyelamat dan membawa pulang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di negara-negara terbabit. “ – Kementerian Luar Negeri.
  • 301 kes babitkan penipuan pekerjaan di empat negara itu diterima setakat ini di mana daripada jumlah tersebut seramai 168 mangsa berjaya dibawa pulang.
  • 34 mangsa sedang ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki 99 lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.
  • Misi menyelamat melalui Perwakilan Malaysia turut digerakkan untuk tangani permasalahan ini dengan segera.

KUALA LUMPUR – Seramai 15 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air semalam.

Kementerian Luar Negeri memaklumkan, semua mangsa yang diselamatkan Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 11.50 malam melalui penerbangan AK535.

“Selain Kemboja, pihak kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Laos, Myanmar dan Thailand terus menggiatkan usaha untuk mengesan, menyelamat dan membawa pulang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di negara-negara terbabit.

“Kementerian Luar amat prihatin dan memandang serius mengenai nasib warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 301 kes membabitkan penipuan pekerjaan di empat negara itu diterima setakat ini di mana daripada jumlah tersebut seramai 168 mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air.

“Selain itu, 34 mangsa sedang ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki 99 lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” katanya.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Isnin lalu mengadakan perjumpaan secara maya bersama Duta Besar, Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Myanmar, Kemboja, Laos dan Thailand.

Pertemuan itu bagi memperincikan langkah lanjut dalam menggiatkan usaha menyelamat rakyat Malaysia yang terbabit dalam kes berkenaan.

“Beliau juga menggerakkan misi menyelamat melalui Perwakilan Malaysia dalam usaha menangani permasalahan ini dengan segera.

“Selain itu, beliau turut mengarahkan supaya pendekatan yang lebih proaktif dapat diambil bagi menangani isu terbabit.

“Pihak kementerian melalui Perwakilan Malaysia di luar negara akan terus komited dan menggiatkan usaha untuk menyelamatkan mangsa seterusnya membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat,” kata kenyataan itu.

Isnin lalu, media melaporkan lima rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air selepas terpedaya menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja.

Pada Rabu, kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas pelbagai agensi bagi menangani isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, akibat sindiket penipuan kerja di mana ia akan diketuai oleh Kementerian Luar Negeri.

Sebelum ini, The Merdeka Times melaporkan Mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam satu kenyataan menggesa kesemua pihak khususnya mereka yang berumur bawah 40 tahun tidak ke negara Thailand kerana beliau mendakwa mereka akan diculik, dijadikan buruh paksa bahkan organ mangsa juga dijual. 

Berikutan itu beliau turun memohon pihak kerajaan dan pihak polis untuk mengambil tindakan yang tegas membanteras perkara tersebut.

Pada masa sama, beberapa individu yang difahamkan merupakan keluarga kepada mangsa sindiket penipuan pekerjaan turut membuat gesaan sama.

Mereka mengharapkan agar perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menyelamatkan anak-anak mereka yang sedang menderita akibat daripada sindiket tersebut.

Author