Connect with us

Terkini

Syarikat bukan Muslim lebih banyak mohon sijil halal, tidak timbul isu bebanan – Mujahid

Syarikat bukan Muslim lebih banyak terlibat dalam permintaan atau memohon sijil halal berbanding industri dimiliki Muslim, kata Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
  • Syarikat bukan Muslim lebih banyak terlibat dalam permintaan atau memohon sijil halal berbanding industri dimiliki Muslim, kata Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
  • Mujahid yang juga bekas Menteri Agama berkata, tidak timbul soal paksaan atau bebanan dalam isu pensijilan halal kerana ia kini menjadi satu keperluan pasaran yang berkembang pesat dan menguntungkan, di mana asalnya dulu ia tanggungjawab Muslim yang inginkan keberkatan hidup dengan mematuhi syariat.
  • “Pihak yang mensensasikan isu halal telah tersasar jauh dari memahami tuntutan halal dari sudut keperluan pengguna kini yang lebih prihatin memilih produk yang memberi mereka keyakinan samada dari sudut panduan  agama, selamat dari sudut bahan dan sihat dari sudut kesan fizikal dan mental.
  • “Keperluan halal telah berjaya merentasi batasan agama kepada keperluan pasaran yang meletakkan piawaian safe (selamat), hygiene (bersih) dan healthy (sihat),” kata Mujahid menerusi hantaran ‘Pensijilan Halal Adalah Sukarela Ditentukan Oleh Pasaran’ di Facebook, hari ini.
  • Difahamkan, kenyataan itu dikeluarkan susulan polemik pensijilan halal yang berlaku selepas Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan JAKIM mengkaji cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi atau minuman beralkohol.
  • Susulan itu, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dilaporkan berkata cadangan tersebut berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
  • Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh juga dilaporkan berkata langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

KUALA LUMPUR —- Syarikat bukan Muslim lebih banyak terlibat dalam permintaan atau memohon sijil halal berbanding industri dimiliki Muslim, kata Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata, tidak timbul soal paksaan atau bebanan dalam isu pensijilan halal kerana ia kini menjadi keperluan pasaran yang berkembang pesat dan menguntungkan, di mana asalnya dulu ia tanggungjawab Muslim yang inginkan keberkatan hidup dengan mematuhi syariat.

Bekas menteri agama itu berkata pihak mensensasikan isu halal tersasar jauh dari memahami tuntutan halal ekoran keperluan halal kini merentasi batasan agama kepada keperluan pasaran yang meletakkan piawaian selamat, bersih dan sihat.

“Halal tidak lagi terhad kepada pemilik industri Muslim tetapi syarikat non-Muslim lebih banyak terlibat dalam permintaan sijil halal berbanding industri dimiliki oleh pemilik Muslim.

“Pihak yang mensensasikan isu halal telah tersasar jauh dari memahami tuntutan halal dari sudut keperluan pengguna kini yang lebih prihatin memilih produk yang memberi mereka keyakinan samada dari sudut panduan  agama, selamat dari sudut bahan dan sihat dari sudut kesan fizikal dan mental.

“Keperluan halal telah berjaya merentasi batasan agama kepada keperluan pasaran yang meletakkan piawaian safe (selamat), hygiene (bersih) dan healthy (sihat),” kata Mujahid menerusi hantaran ‘Pensijilan Halal Adalah Sukarela Ditentukan Oleh Pasaran’ di Facebook, hari ini.

Difahamkan, kenyataan itu dikeluarkan susulan polemik pensijilan halal yang berlaku selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan JAKIM mengkaji cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi atau minuman beralkohol.

Susulan itu, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dilaporkan berkata cadangan tersebut berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh juga dilaporkan berkata langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Bantahan itu kemudian mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil yang meminta Teresa menarik balik kenyataan sensitif beliau.

Susulan itu, beberapa laporan polis dibuat terhadap Teresa dan beliau memberi keterangan di ibu pejabat polis di Bukit Aman hari ini.

Teresa kemudian menjelaskan gesaannya agar cadangan itu dikaji semula tidak bermaksud beliau mempersoalkan pensijilan halal, peranan JAKIM atau tidak menghormati agama Islam.

Mengulas lanjut, Mujahid meminta pertikaian disifatkan tidak produktif itu dihentikan supaya semua pihak dapat mengangkat industri halal negara ke tahap global. —- The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *