Terkini
Pemandu e-hailing Muslim tidak boleh hantar penumpang ke kelab malam, tempat maksiat
Pemandu e-hailing Muslim tidak boleh menghantar penumpang ke kelab malam atau pusat hiburan yang sinonim dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat, minuman keras dan seumpamanya.
- Pemandu e-hailing Muslim tidak boleh menghantar penumpang ke kelab malam atau pusat hiburan yang sinonim dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat, minuman keras dan seumpamanya.
- Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ini kerana perkara itu termasuk dalam perbuatan membantu ke arah maksiat dan dosa kepada Allah SWT.
- “Justeru, jika dapat menolak dengan baik tanpa menjejaskan pekerjaannya itu, maka dia hendaklah melakukannya.
- “Begitu juga jika perkara tersebut berterusan, maka pada masa sama dia hendaklah berusaha mencari pekerjaan lain yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredhai oleh Allah SWT,” kata Zulkifli pada Ahad.
- Zulkifli berkata demikian menerusi laman sesawangnya bukudrzulkifli bagi menjawab soalan pengirim berkenaan hukum memandu e-hailing dan mendapat tempahan menghantar pelanggan ke pusat hiburan atau kelab malam.
- Zulkifli menjelaskan ia bagaimanapun dibolehkan bergantung kepada situasi pemandu terbabit, terutama sekiranya pemandu itu jarang menghantar penumpang ke tempat sedemikian atau boleh menjejaskan pekerjaan sekiranya tempahan tersebut berterusan ditolak.
KUALA LUMPUR — Pemandu e-hailing Muslim tidak boleh menghantar penumpang ke kelab malam atau pusat hiburan yang sinonim dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat, minuman keras dan seumpamanya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ini kerana perkara itu termasuk dalam perbuatan membantu ke arah maksiat dan dosa kepada Allah SWT.
Beliau berkata sekiranya hal tersebut berterusan, maka pemandu e-hailing Muslim itu perlu mencari alternatif atau pekerjaan lain yang halal dan lebih suci pendapatannya serta lebih diredhai Allah SWT.
“Justeru, jika dapat menolak dengan baik tanpa menjejaskan pekerjaannya itu, maka dia hendaklah melakukannya.
“Begitu juga jika perkara tersebut berterusan, maka pada masa sama dia hendaklah berusaha mencari pekerjaan lain yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredhai oleh Allah SWT,” kata Zulkifli pada Ahad.
Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata demikian menerusi laman sesawangnya bukudrzulkifli bagi menjawab soalan pengirim berkenaan hukum memandu e-hailing dan mendapat tempahan menghantar pelanggan ke pusat hiburan atau kelab malam.
Mengulas lanjut, Zulkifli menjelaskan perkara itu bagaimanapun dibolehkan bergantung kepada situasi pemandu terbabit, terutama sekiranya pemandu itu jarang menghantar penumpang ke tempat sedemikian atau boleh menjejaskan pekerjaan sekiranya tempahan tersebut berterusan ditolak.
“Sekiranya asas pekerjaannya itu adalah baik yang mana dia sepatutnya hanya membawa penumpang ke destinasi diinginkan atau dituju, dan hanya kadang-kadang sahaja dalam situasi tertentu (dan jarang berlaku) dia terpaksa membawa penumpang ke tempat tertentu yang berkait maksiat dan dosa, kerana dikhuatiri jika kerap menolak untuk membawa penumpang atau seumpamanya, maka dia boleh dibuang daripada pekerjaan tersebut atau menjejaskan pekerjaannya.
“Jadi, ketika dalam situasi tersebut, apatah lagi dalam keadaan yang amat sukar memperoleh pekerjaan untuk menampung hidupnya, maka tidak mengapa dan semoga Allah SWT mengampuni ‘ketergelincirannya’ itu.
“Akan tetapi dia hendaklah mengeluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang haram tersebut (iaitu membawa penumpang ke kelab malam), lalu disalurkan atau digunakan untuk kepentingan dan maslahat umat Islam,” katanya. — The Merdeka Times